MusicPlaylist

"Sejak hari pertama, kita dijadikan,

telah tertulis segala nasib kita

di luh mahfuz. Buruk baiknya kita tak tahu. ,

Tapi kita perlu

berusaha memenuhi kemahuan hidup kita"

CAHAYA

Showing posts with label SEMASA. Show all posts
Showing posts with label SEMASA. Show all posts

Saturday, January 2, 2010

BERTUNANG SEMASA BELAJAR??


  
 “Boleh ke ustaz, bertunang masa belajar?”. “Nanti bila dah bertunang, lepas tu masing-masing ada komitmen dengan pengajian masing-masing sehingga berlanjutan sampai bertahun-tahun. Lama tu, kan makruh!”. 

Ikatan pertunangan dibolehkan asalkan tahu menjaga batas-batas yang telah digariskan oleh syariat.  Anggaplah ianya sebagai salah satu bentuk ujian, kenalah tabah dan sabar hadapinya. Ia bukanlah suatu masalah, jika tempoh masa pertunangan tersebut lama. Lama dalam erti kata lain, kerana terkesan sibuk dengan tugasan, seperti pengajian dan sebagainya. Sebagai contoh, Kalau bertunang dua tahun, sorang sibuk kerja dengan pelbagai aktiviti, manakala sorang lagi sibuk dengan pengajian di bidang perubatan umpamanya. Rasanya dua tahun tu sekejap aje, especially untuk pihak lelaki yang bertanggungjawab nak prepare macam-macam. Tapi kalau bertunang sampai enam bulan, kerja satu pejabat, duduk ditempat semacam cubicle mengadap antara satu dan lain. Hari-hari pula tu jumpa sehingga kenal ‘lobang’ dan bulu hidung, manakala rambut pula tak disikat pun boleh perasan enam bulan tu panjang dan lagi berisiko. Cuma harus diingat,  ramai yang mengatakan mereka cuba menjaga tetapi terperangkap dalam masalah hati, iaitu zina hati yang ‘Islamik Romantik’. Berbaur Islam, tetapi membawa kepada masalah penyakit hati yang parah dan kronik. Pandai-pandai jaga. 


Definisi Pertunangan daripada Kaca Mata Islam

Ikatan sementara sebelum berlangsungnya sebuah akad nikah ini, sering kali disalah anggap oleh khalayak orang ramai khususnya muda-mudi. Seolah-olah simpulan ini menjadi ‘lesen besar’ untuk melakukan maksiat, dengan alasan ‘kami sudah bertunang’. Justeru, sangat perlu kepada semua pasangan yang ingin atau sudah bertunang mengetahui hak dan batas-batas sempadan syariat sebelum sebuah ikatan yang hak, benar-benar terpatri. Islam telah mensyariatkan pertunangan sebagai langkah dan wasilah sebelum melangsungkan perkahwinan. Pertunangan banyak memberi faedah dan membantu dalam menjamin keutuhan rumahtangga yang bakal dibina. Namun roh sebenar sebuah ikatan ini merupakan subjektif yang memerlukan kefahaman yang jitu, dan harus dijaga agar kesuciannya tidak dinodai. 



Pertunangan ialah satu langkah bagi seorang lelaki menyampaikan keinginannya untuk mengahwini seseorang perempuan yang disukainya samada langsung kepada perempuan tersebut atau kepada walinya. Ianya boleh dilakukan secara langsung oleh lelaki yang hendak berkahwin atau melalui wakilnya. Sekiranya hasrat hati lelaki itu diterima oleh perempuan berkenaan maka mereka menjadi pasangan tunang. Bermula dengan penerimaan wanita yang berkenaan sehinggalah masa Ijab dan Qabul, inilah yang dinamakan sebagai tempoh pertunangan. Sebelum lelaki meminang seseorang perempuan, penting untuk dia merisik dan menyelidik latar belakang perempuan yang ingin dipinangnya terlebih dahulu serta yakin dengan pilihannya setelah melakukan Istikharah dan sebagainya. Yakin dengan pilihan pasangan ini sangat penting untuk mengelakkan pinangan yang dibuat ditarik balik. Ini kerana tindakan seperti ini akan menyakiti hati wanita, melukai perasaannya dan menjatuhkan kehormatannya. Tindakan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama dan bertentangan dengan nilai murni dalam masyarakat Islam. 



Namun jika sepanjang tempoh pertunangan tersebut bertaut, mungkin kekurangan yang dirasakan oleh pihak lelaki, maklumlah pertunangan ini juga boleh dianggap fasa untuk berkenalan dengan lebih dekat bakal pasangan sebelum betul-betul matang dan masak untuk mendirikan masjid. Bukan menolak pinangan, maksud penulis memutuskan talian pertunangan, iaitu ketika sedang bertunang. Jika berlaku juga, maka hendaklah di pihak lelaki menyembunyikan kekurangan atau kelemahan bekas tunangnya itu, bagi mengelakkan rasa aib pada diri dan ahli keluarganya.



Berhubungan semasa di alam pertunangan bukan tiket bagi kita untuk bergerak bebas dengan tunang. Ingat! Sekarang orang yang ber‘couple’ pun sudah berlagak seperti suami isteri dan lupa dunia.

Berhubung antara pasangan tunang perlu juga diperhatikan, melainkan keperluan tentang perancangan yang penting. Sebaiknya dielakkan telefon kecuali bagi yang benar-benar mantap dan boleh menjaga hati serta tiada jalan lain untuk berbincang hingga ke rumah, itupun dengan parents atau orang tengah. Juga fokuskan kepada perancangan perkahwinan dan self improvement.

Matlamat Utama Jadi Sandaran

Konsep pertunangan yang semakin terasing dari kehidupan masyarakat kita sekarang. Apa yang penting, kawalan diri kita tu paling utama. Kuat atau seseorang itu bergantung kepada keimanannya. Di sinilah, Iman ditugaskan menjadi sebagai remote control bagi perlakuan kita. Jadilah remote control yang efektif. Pandai-pandai kawal, bukan dengan nafsu tapi Iman. Sebaiknya kita tetapkan hati, pendirian dan bersederhana. InsayaAllah, kalau kedua-dua pihak memahami tujuan sebenar perkahwinan, mengikut saluran yang sebenarnya, mengambil jalan sederhana dan wara’ dalam menjaga batasan, insyaAllah semuanya baik dan tenang sahaja.



Sebab ramai yang asyik dan mabuk di alam pertunangan, namun terlupa nak mempersiapkan diri untuk alam rumahtangga yang lebih penting lagi. Usah difikirkan banyak tentang hal ini, nanti lain pula jadinya. Jangan dilayan perasaan semasa bertunang. Fokuskan kepada kehidupan yang sedang dijalani dan diperjudikan sekarang. Berhubung dengan minimakan seminimanya. InsyaAllah, tiada resah gulana, dan tiada masalah. Bertunang adalah satu wasilah. Cinta bukan segala-galanya. Namun segalanya yang dimulai dengan niat yang ikhlas, cara yang betul dan barakah akan menimbulkan dan memutikkan cinta yang sewajarnya selepas perkahwinan.


Kesimpulannya, pertunangan adalah suatu tempoh masa untuk berkenal-kenalan di antara pasangan. Namun dalam realiti dunia sekarang dunia tanpa sempadan relevankah lagi pertunangan itu?orang dahulu bertunang langsung tidak berhubungan jumpa jauh sekali, dunia sekarang dengan teknologi-teknologi tanpa sempadan sekarang seperti sms, mms, 3g, internet dan lain-lain adalah lebih baik tempoh pertunangan itu disingkatkan sementelah jika telah mengenali pasangan dalam tempoh yang agak lama. Ingat pertunangan bukanlah tiket untuk melakukan segalanya. Ia masih dibatasi oleh sempadan syariat. 

p/s: entry ni saya ambil dari blog seorang sahabat dan telah diedit tambah tolak bahagi darab kuasa dua oleh saya =).

Monday, December 14, 2009

CUKUP ALLAH BAGIKU

Sebagai hamba kepada Tuhannya kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang telah Allah Ya Rabb berikan kepada kita selama ini. Hanya apabila kita menghayati apa yang kita ada pada hari ini barulah kita terasa bahawa kehidupan ini seperti yang kita impikan. Belajarlah untuk redha dan menerima setiap apa yang berlaku dalam 
 kehidupan kita ini. 



Hakikatnya anugerah dan kurniaan Allah terhadap kita adalah cukup, cuma kita sahaja yang dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat yang mengajar bahawa hidup ini sentiasa penuh derita, sengsara, kekejaman dan kezaliman. Kehidupan yang dibentangkan oleh Allah di hadapan ini adalah cukup sempurna dan serta kita mampu untuk memiliki apa yang kita mahu diiringi dengan usaha,azam, keyakinan, kebergantungan dan doa kepada Allah mengatasi segalanya. Apakah pengertian doa sebenarnya? Perlukah kita untuk berdoa sedangkan taqdir kehidupan telah ditetapkan oleh Allah? Kata2 yang tidak berasas ini timbul dari mulut2 yang tidak mengetahui atau mereka yang jahil tentang agama.


Doa adalah permohonan seorang hamba kepada Raabnya untuk diberikan perlindungan (inayah) dan pertolongan (ma’unah). Hakikat doa adalah ekspresi ketidakmampuan dan kefakiran kepada Allah SWT,dan ikrar bahawa tidak ada kekuatan dan daya kecuali dengan pertolongan Allah SWT.Ia merupakan simbol daripada penghambaan serta merasakan diri hina dan lemah sebagai manusia di hadapan Allah SWT.

Doa juga merupakan pujian kepada Allah SWT,dengan menyandarkan seluruh bentuk kebaikan dan kemuliaan hanya kepada-Nya sehinga Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud 

” Doa adalah ibadah” 
" Doa adalah suatu perkara yang boleh mengubah taqdir"


Begitulah peri pentingnya peranan doa dalam kehidupan seorang Muslim.
Berdoa diperintahkan dan dianjurkan oleh Allah dan juga Rasulullah SAW.


Firman Allah SWT yang bermaksud :
 
“Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Ku perkenankan”
“Berdoalah kepada Raabmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Alah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
“….berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima permintaan) dan harapan ( akan dikabulkan permintaan )…
 
Maksud Hadis ” Apabila seorang Muslim memanjatkan sesuatu doa kepada Allah yang di dalamnya tidak ada dosa dan pemutusan tali silaturrahim,maka Allah SWT akan memberinya satu di antara tiga :
 
1) Allah SWT langsung mengkabulkan doanya (mohon dijauhkan).
2) Allah SWT akan menyimpannya untuk orang tersebut di akhirat.
3) Allah SWT akan menjauhkan kejahatan atau keburukan dari orang tersebut yang setimpal dengan doanya.

Doa  juga merupakan sunnah para Nabi dan Rasul, juga merupakan kebiasaan para wali dan orang-orang soleh.Orang yang meninggalkan doa bererti dia telah menempuh jalan orang-orang yang sengsara dan sombong. Mahukah kita menjadi sombong sedangkan setiap hari kita masih kekal diberikan nikmat iman, nikmat Islam, mampu menghirup udara pagi, masih mampu merasai bahang matahari, masih dapat melihat keindahan alam panorama dan banyak lagi nikmat kurnian dari ALLAH yang kita telah, sedang dan akan merasainya.


Firman Allah: 

Ini adalah kuniaan Tuhanku untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau sebaliknya dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya kembali kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah. (An-Naml-40)


Justeru, bersyukur dan berbaik sangkalah dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya.
Ingatlah, hidup ini adalah indah, apabila kita benar-benar bersyukur. Segalanya terletak pada hati dan minda kita. Kita harus melihat pemberian Allah dengan mata rohani, sehingga mampu merasakan kekayaan rohani yang dimilikinya itu adalah pemberian Allah. Keselamatan, kesihatan, ketenangan, keyakinan iman dan banyak lagi adalah kekayaan rohani yang sangat mahal harganya. Allah SWT tidak pernah melupakan hamba hamba-Nya, manusialah yang SELALU lupa kepada-Nya kerana sedikit sekali manusia yang bersyukur kepada DIA....

CUKUP ALLAH BAGIKU

Sunday, December 13, 2009

DIRENJIS-RENJIS DIPILIS

 PENDAHULUAN

Perkahwinan merupakan suatu yang diharuskan oleh syariat bagi menjamin kelangsungan ummat manusia selain dari menjaga diri dari terjebak ke lembah kemaksiatan. Namun begitu sejak dahulu lagi perkahwinan yang dilangsungkan untuk satu tujuan yang baik kadang-kadang boleh bertukar menjadi  fasid bilamana ia bercampur dengan perkara-perkara yang haram. Kesinambungan antara adat dan syariat adalah dibenarkan seiring dengan lexim qawaid fiqhiah al adah muhakkamah tetapi biarlah ia tidak melampau batas-batas yang telah digariskan oleh syariat. Salah satu adat kebiasaan dalam suatu majlis perkahwinan ialah bersanding. Sejauhmana bersanding itu dibenarkan oleh syariat?





SEJARAH DAN ASAL USUL PERSANDINGAN

Sejarah persandingan pula tidak diterangkan secara jelas di dalam kitab-kitab sejarah. Sebahagian mengatakan bahawa persandingan ialah adat yang dilakukan oleh bangsa Melayu sejak zaman dahulu.Sebahagian lagi mengatakan bahawa ianya merupakan adat yang diambil daripada India.Ini seperti yang diterangkan oleh De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) dan mereka berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.

HUKUM DAN PERBAHASAN

Jika dinilai pada maksud sebenar bersanding seperti yang diterangkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tersebut maka ianya adalah HARUS. Sekadar pengantin lelaki dan perempuan duduk bersebelahan maka tiada masalah padanya. Cuma jika dibahaskan daripada sudut adat dan budaya yang diamalkan sekarang seperti disediakan pelamin yang mahal, wanita berhias berlebih-lebihan serta tidak menutup aurat , adat bertepung tawar dan sebagainya maka perkara seperti ini perlu dibahaskan satu persatu secara terperinci.

PELAMIN

Berkenaan dengan pelamin yang mahal maka ianya tidaklah dituntut di dalam Islam. Walaupun kita kaya sekalipun maka tetap disarankan agar kita bersederhana di dalam berbelanja.Ramai yang menggunakan hujah bahawa pelamin sebegini perlu dilaksanakan sebagai kenang-kenangan untuk masa hadapan dan sebagainya. Hujah-hujah sebegini tidaklah boleh diterima pakai kerana lebih menjurus kepada hawa nafsu. Hukum dan saranan Baginda sallallahu alaihi wasallam sepatutnya lebih kita turuti.

Tetapi jika cuma disediakan tempat untuk bergambar bersama pengantin dan tempat tersebut dihias dengan seadanya, maka beberapa adab perlu diraikan.Antaranya ialah tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita, wanita wajib menutup aurat di hadapan lelaki yang ajnabi( yang boleh dikahwininya) dan begitu juga golongan lelaki ,wajib bagi mereka menutup aurat di hadapan wanita ajnabiah. Jika kesemua perkara ini diraikan maka tiadalah masalah padanya.

Kesimpulan tentang hukum pelamin ini ialah kita melarang berlakunya pembaziran dan percampuran lelaki dan perempuan yang berlaku seperti zaman sekarang. Tetapi jika semua perkara tersebut boleh kita elakkan maka hukumnya adalah HARUS.

Sebelum kita membahaskan lebih panjang sebaiknya kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan membazir. Di dalam bahasa arab terdapat dua kalimah yang digunakan iaitu الإسراف dan التبذير. Sebahagian ulama mengatakan bahawa kedua-dua kalimah ini maksudnya adalah sama.

Al-Imam al-Jurjani rahimahullah mengatakan bahawa al-Israf ialah mengeluarkan harta lebih daripada perkara yang diperlukan.Manakala al-Tabzir pula ialah mengeluarkan harta bukan kepada perkara yang diperlukan (perkara maksiat).


Kata Guru kami yang mulia, Yusri Rushdi Al-Sayyed Jabr Al-Hasani di dalam satu kuliah beliau:

“Contoh mudah bagi al-Israf ialah seperti kita memerlukan untuk seminggu kehidupan kita sebanyak sekilo daging,tetapi kita membeli sebanyak 2 kilo daging maka ini dinamakan Israf.Manakala al-Tabzir ialah kita mengeluarkan walau sedikit wang untuk membeli perkara yang diharamkan maka ianya dikira al-Tabzir.Seperti membeli sebatang rokok yang berharga 50 qurush(matawang mesir lebih kurang 30 sen Malaysia) maka ini dinamakan al-Tabzir”


Kedua-dua perkara yang kita sebutkan ini adalah dicela dan tidak dituntut di dalam Islam. Jika berlebih-lebihan didalam perkara yang harus seperti contoh yang kita berikan tidak dituntut maka lebih-lebih lagi jika perkara itu menjurus kepada haram.

BERTEPUNG TAWAR DAN MENABUR BERAS KUNYIT

Ini merupakan adat turun-temurun yang dilakukan ketika majlis persandingan dilangsungkan. Sepanjang pembacaan saya tentang perkara ini , antara tujuan dilakukan perkara ini ialah untuk menambahkan semangat berdasarkan kekuningan padi kepada kedua pengantin. Terdapat juga jampi dan mentera yang tidak difahami bahasanya dengan tujuan menghalau roh-roh jahat dam sebagainya.

Jika perkara sebegini dilakukan maka hukumnya jelas HARAM. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:


عن أبي هريرة رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : من أتى عرّافا أو كاهنا فصَدَّقَه بما يقول فقد كفر بما أُنزِل على محمد.


Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu katanya: Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Sesiapa yang mendatangi dukun dan bomoh ,malah membenarkan apa yang disebutkan oleh dukun atau bomoh tersebut, Sesungguhnya (orang-orang yang mendatangi bomoh dan dukun sebegini) telah mengingkari apa yang diwahyukan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Perkara-perkara sebegini wajib ditegah berlaku di dalam masyarakat Muslim.

Alternatifnya, kita boleh melaksanakan majlis doa selamat bagi mendoakan kepada kedua pengantin agar dipelihara oleh Allah taala daripada sebarang kecelakaan. Maka ini sangat-sangat dituntut di dalam Islam.

WANITA BERHIAS DAN TIDAK MENUTUP AURAT

Bersanding dikatakan tujuannya adalah untuk mempertontonkan pengantin kepada hadirin. Perkara ini berbalik kepada hukum asal melihat wanita bagi lelaki ajnabi.Menurut para ulama, lelaki ajnabi diharamkan melihat wanita ajnabi walaupun bukan dengan tujuan syahwat. Ini jika tiada sebab yang mengharuskan bagi seorang lelaki tersebut melihat kepada wanita ajnabiah. Jika mempunyai sebab yang dibenarkan syarak seperti meminang, di dalam majlis pengajian, berubat dan ketika jual beli maka tiadalah masalah untuk lelaki ajnabi melihat kepada wanita ajnabiah.

Jika ada golongan yang mengatakan bahawa tujuan diadakan persandingan mengikut adat ialah untuk memperkenalkan kepada ahli keluarga dan orang ramai kedua-dua pengantin. Maka kita katakan, tiadalah masalah jika kita ingin memperkenalkan kedua-dua pengantin kepada orang yang hadir dengan syarat adab-adab yang kita sebutkan sebelum ini diraikan . Jika perkara ini diraikan maka syarak tidaklah menghalang perkara ini dilaksanakan.

Masalah aurat juga perlu dititik-beratkan oleh pengantin dan orang ramai yang hadir. Firman Allah taala di dalam surah al-Nur ayat 31:


وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آَبَائِهِنَّ أَوْ آَبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka , atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat wanita, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah taala, wahai orang-orang yang beriman , supaya kamu berjaya.

Ayat ini sangat jelas menunjukkan arahan daripada Allah taala supaya menutup aurat.

ETIKA PEMAKAIAN

Antara syarat-syarat pakaian bagi wanita dan lelaki ialah:

1. Mestilah pakaian tersebut daripada jenis yang menghalang daripada orang mengetahui warna kulitnya. Ini bermakna, seseorang tersebut tidak boleh memakai pakaian yang nipis sehingga orang boleh mengetahui warna kulitnya.

2. Mestilah pakaian tersebut menutup keseluruhan aurat lelaki dan wanita tersebut.
3. Mestilah pakaian yang dipakai tidak membolehkan orang mengetahui bentuk tubuh dan auratnya iaitu tidak ketat.

Kebanyakkan orang pada zaman sekarang tidak memahami masalah menutup aurat ini dengan baik. Maka mereka melakukan kesilapan dalam keadaan mereka tidak sedar. Ketiga-tiga syarat yang kita sebutkan perlulah diraikan kesemuanya. Jika kurang salah satu daripada syarat-syarat tersebut maka seseorang tersebut masih dikira tidak menutup aurat. Kita mendapati ada golongan yang berpakaian ketat dan bilamana kita melarangnya maka mereka mengatakan bahawa yang penting orang tidak mengetahui warna kulit . Maka ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak faham syarat-syarat berpakaian yang diletakkan oleh syarak.
Maka para pengantin dan orang ramai perlulah meraikan perkara ini. Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah berkenaan make-up pengantin. Berhiaslah sekadarnya, berpadalah dengan kecantikan asli yang diberikan Allah kepada kita. Tidak perlu membazir wang menjemput juru solek bagi mengkaburi mata orang lain . Malah kita bimbang termasuk di dalam ayat Allah taala di dalam surah al-Ahzab ayat 33:


وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأُولَى


Maksudnya: Janganlah kamu bertabbarruj sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah pada zaman dahulu.

WARNA PAKAIAN

Masalah warna pakaian juga menjadi perbahasan dikalangan orang ramai. Adakah syarat-syarat tertentu bagi warna pakaian bagi wanita? Menurut Syeikh Ali Jum’ah Hafizahullah di dalam kitabnya Fatawa Asriyah(Fatwa semasa) warna tidaklah ditetapkan oleh syarak bagi wanita cuma yang wajib bagi mereka ialah mengikut syarat-syarat yang diletakkan oleh syarak di dalam etika berpakaian .

Syarat berpakaian ialah seperti yang telah disebutkan oleh saya sebelum ini.

Pendapat yang mengatakan bahawa wanita perlulah memakai warna yang gelap-gelap agar manusia tidak memandang kepada mereka tidaklah terlalu tepat. Ini kerana ada terdapat golongan manusia yang menyukai warna yang gelap. Maka mereka tetap akan memandang kepada wanita yang berpakaian gelap. 


PENUTUP


Setelah membicarakan hukum berkaitan bersanding ini diharapkan ia dapat difahami dengan sebaik dan sejelas mungkin oleh kita. Bersanding  pada asalnya adalah harus cuma ia akan menjadi haram apabila bercampur dengan perkara-perkara yang ditegah oleh syariat seperti jampi serapah, menepung tawar, percampuran bebas di antara lelaki dan perempuan, membuka aurat dan pembaziran. Jika perkara-perkara ini  tidak dilakukan maka tidak menjadi kesalahan meraikan adat ini, begitulah sebaliknya.

Tuesday, December 8, 2009

PEMBUKA PINTU REZEKI


Dato' Dr. Fazilah Kamsah pernah berkata..... .
 
"setiap pagi hadiahkan al-fatihah kepada kedua ibu bapamu ( tak kira masih hidup @ telah tiada )"......... nescaya pintu rezekimu akan terbuka buat kamu...  

Berdasarkan Hadith Nabi :
"Tidak akan terputus rezeki seseorang selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tua nya dalam sehari"  

Huraian hadith:
- jangan sesekali meninggalkan doa kepada kedua ibubapa (baik yang hidup mahupun yang sudah tiada ) - Allah akan memurahkan rezeki kepada mereka yang tidak putus berdoa kepada kedua ibu bapa (walaupun ada ibu bapa yang leka, doakan agar mereka berubah) - Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah - Semasa berdoa, berdoalah dengan bersungguh2. ...tadah tangan dan bayangkan wajah kedua orang tua kita, termasuk guru2 kita dan mereka yang banyak menolong kita (berdoa perlu benar2 bersungguh2) - Mereka yang lupa berdoa kepada kedua orang tua, akan disempitkan rezeki oleh Allah  
Kesimpulannya:
- Bagi yang berniaga, tak perlu ada ilmu pelaris..... . Cuma jangan lupa doakan ibu bapa kita setiap hari - Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita dapat dari Allah (e.g. makan, kesihatan, kasih sayang, ilmu dsb nya..) InsyaAllah Berusaha dan bertawakal.. ...insyallah , - rezeki itu bukan kerana ada sijil SPM.