MusicPlaylist

"Sejak hari pertama, kita dijadikan,

telah tertulis segala nasib kita

di luh mahfuz. Buruk baiknya kita tak tahu. ,

Tapi kita perlu

berusaha memenuhi kemahuan hidup kita"

CAHAYA

Tuesday, December 8, 2009

SEPINTAS LALU

Nama diberi Nurul Farrhana Zainul Abidin yang membawa maksud cahaya kegembiraan. Sememangnya nama ini sangat bertepatan dengan diriku yang sentiasa membawa kegembiraan kepada keluargaku. Puteri sulung kepada pasangan Zainul Abidin Darus dan Norriah Isa. Alhamdullilah Allah telah memberi kan kehidupan kepada ku selama 23 tahun hidup di dunia ini. Lahir di bumi Hospital Daerah Mentakab pada 25 Ogos 1986. Mempunyai 4 orang adik beradik yang kesemuanya 'heroin'.

Mendapat pendidikan awal di sekolah ren sentul 2 daripada darjah 1 sehinggalah darjah empat. Kemudian berpindah ke Bentong Iceland pada pertengahan darjah empat dan menyambung pengajian di sek ren sungai marong bentong pahang. Kemudian melanjutkan lagi pelajaran di Sek Men Agama Al Ulum Addiniah Dong Raub Pahang D.M dari tingkatan 1 hinggalah 5. 


Setelah tamat tingkatan 5 menyambung pengajian di peringkat Diploma di Kolej Uniti Negeri sembilan dalam jurusan Dip. Pengajian Islam (Syariah). Setelah selesai pengajian di peringkat Dip. ditawarkan bertugas sebagai seorang 'Ustajah' di Sek Ren Al Irsyad Kuantan. Menimba pengalaman sebagai seorang Ustajah banyak mematangkan diriku, tetapi rezeki ku tidak lama di situ hanya 6 bulan sahaja kerana melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia. Meneruskan lagi perjuanganku di Jabatan Syariah pengkhususan Undang-undang Perbandingan. Tahun 2 di UKM memohon Diploma Lanjutan Siswazah iaitu Diploma Pentadniran Kehakiman dan Guaman Islam. Insyaallah akan bergraduat pada Ogos 2010 bagi kedua-dua program ini.

Jika ditanya dalam banyak-banyak tempat aku belajar yang manatempat yang best sekali? bagi aku sek men agama dong adalah tempat yang paling best. Terlalu banyak kenangan di sini. Rasanya jika dijual beli mungkin tidak ternilai harganya. Kenangan bersama kawan-kawan seperjuangan Lysa, Ina, Aini, Cpah, Pqah, Efa, Fakhriah, Aiman, Arwah Aiedil, Zulkhairi, Zoni, Paid, kenanagan bersama cikgu Helda, ustazah CT Nora, Ustazah Zuraidah, Ustazah Nilam dan Ustaz Hasminuddin adalah memori terindah yang pernah aku lalui.


Kenangan paling indah dalam hidup ini ditawarkan belajar di UKM. Saat itu tak dapat digambarkan perasaan ini, bercampur baur, bangga, gembira, terharu lain-lain lagi, yang paling gembira tika itu sudah tentulah kedua ibu bapaku. Yelah sape tak gembira kan. Kebetulan kami tiga beradik mendapat tawaran ke universiti secara serentak. Angah di UIA dan k.de di UITM Segamat.

 
Kenangan paling pahit sekali ialah kehilangan seorang sahabat baik MOHD AIEDIL BIN ZUL akibat kemalangan jalan raya di Seremban pertengahan 2008. Sudah hampir setahun lebih arwah meninggalkan aku tetapi aku dan sahabat-sahabat yang lain masih merasakan dia ada bersama kami. Al Fatihah untuk arwah. Semoga arwah ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh Amin.
 

Akhir sekali, harapan ku sebagai seorang anak dapat gembirakan hati kedua ibu bapa ku yang terlalu banyak berkorban segala-galanya untuk kami berempat beradik. Along sayang 'ma' dan Abah. Sebagai seorang hamba kepada Pencipta, aku berdoa sentiasa dalam lindungan rahmatnya dalam setiap langkah kehidupan ini. Kepada rakan seperjuangan sekalian 'modul undang-undang perbandingan' semoga kita sama-sama mendapat kejayaan bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga. Teruskan 'SEMANGAT COMPARATIVE LAW' ini kerana ukhwah ini tiada akhirnya...



JANGAN MENCARI TERLALU SEMPURNA


  
Jika kamu memancing ikan.... Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu.... Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja.... Karena ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.  

Begitulah juga ......... Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang... Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya.... Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja.... Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu....

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh.... cukuplah sekadar keperluanmu.... Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menampalnya semula.... Akhirnya ia dibuang.... Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi....  

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya.... Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa.... Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya....akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.

Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya.... Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi... yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain.. Terlalu ingin mengejar kelezatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya.Kamu akan menyesal.  

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan..... yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu. MENYAYANGIMU... MENGASIHIMU...  

Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan.  

Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain Kamu juga yang akan MENYESAL....


 

JODOH


Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada oJrg jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa2 kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa2 lewat   sembahyang. Allah mendengar.
Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri drpd menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.


Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar2 mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga dtg bersama masalah. 

Kita selalu melihat org memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah(walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda. Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tgh2 bandar raya.


Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar2 membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Demikian juga perkahwinan. ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. 



Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?


Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing2 padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata? 

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa2 belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak2, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.


Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar2 mengerti tuntutan2nya.


Seorang teman pernah berpesan.. 

"Kadang2 Allah sembunyikan matahari.. Dia datangkan petir dan kilat.. kita menangis dan tertanya-tanya, kemana hilangnya sinar.. Rupa2nya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi.." " `Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali. Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit didada...






KEKUATAN CINTA

Bila tengok tajuk di atas tu mesti semua sangka saya akan tulis tentang cinta. Tidak sebenarnya , apa yang hendak dicoret ini memang berkaitan tentang cinta tetapi cinta dalam konteks berbeza. 


Bukannya dalam konteks biasa. Sebelum saya mencoret ni saya baru sahaja selesai menghubungi ibu saya. Apa kaitan hal ini dengan coretan saya? Ada kaitannya.. 
 
Ibu saya adalah kekuatan hidup saya. Apabila selesai bercakap dengan ibu saya subhanallah tak dapat digambarkan perasaan saya, semangat yang hilang untuk mentelaah tiba-tiba terus ada. Itulah suatu kelegaan, kepuasan apabila bercakap dengan ibu. Inilah dinamakan kekuatan cinta yang mana ia tiada bandingan. 


Kenapa hal ini terjadi? Ia kerana talian jalinan hubungan darah yang mengalir antara dua hati ini membuatkan ia dapat merubah segalanya. Semua orang mengerti, fahami bahawa kasih sayang ibu tiada ganti dan nilainya. 


Dia adalah insan yang banyak berkorban segalanya dari sebelum kita dilahirkan lagi mengandungkan kita 9 bulan 10 hari, bersabung nyawa melahirkan kita, pengorbanan membesar dan mendidik kita dengan sepenuh kasih sayang. 


Mampukah kita untuk membalasnya? Ia hanya terbalas dengan kejayaan kita kelak itu pun tidak sampai SATU PERTIGA dari apa yang dia curahkan kepada kita selama ini.  


Buat ibuku NORRIAH BINTI ISA aku berbangga menjadi anak kepadamu. Semoga Allah panjangkan umur 'ma' supaya sempat along dan adik-adik membalas jasa serta berbakti pada 'ma' dan 'abah', doakan kejayaan along selalu. Sesungguhnya kasih 'ma' pada along dan adik-adik yang lain tiada gantinya. Along sayang 'ma'.

PEMBUKA PINTU REZEKI


Dato' Dr. Fazilah Kamsah pernah berkata..... .
 
"setiap pagi hadiahkan al-fatihah kepada kedua ibu bapamu ( tak kira masih hidup @ telah tiada )"......... nescaya pintu rezekimu akan terbuka buat kamu...  

Berdasarkan Hadith Nabi :
"Tidak akan terputus rezeki seseorang selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tua nya dalam sehari"  

Huraian hadith:
- jangan sesekali meninggalkan doa kepada kedua ibubapa (baik yang hidup mahupun yang sudah tiada ) - Allah akan memurahkan rezeki kepada mereka yang tidak putus berdoa kepada kedua ibu bapa (walaupun ada ibu bapa yang leka, doakan agar mereka berubah) - Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah - Semasa berdoa, berdoalah dengan bersungguh2. ...tadah tangan dan bayangkan wajah kedua orang tua kita, termasuk guru2 kita dan mereka yang banyak menolong kita (berdoa perlu benar2 bersungguh2) - Mereka yang lupa berdoa kepada kedua orang tua, akan disempitkan rezeki oleh Allah  
Kesimpulannya:
- Bagi yang berniaga, tak perlu ada ilmu pelaris..... . Cuma jangan lupa doakan ibu bapa kita setiap hari - Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita dapat dari Allah (e.g. makan, kesihatan, kasih sayang, ilmu dsb nya..) InsyaAllah Berusaha dan bertawakal.. ...insyallah , - rezeki itu bukan kerana ada sijil SPM.

SURAT CINTA DARI IBLIS


(Surat ini akan membuat anda benar-benar berfikir) (Sebenarnya surat ini hampir membuatku gila saat aku membacanya, tapi aku harus forwardnya kerna catatan kecil dibawahnya)  


SURAT DARI SETAN UNTUK MU  

Aku melihatmu kemarin, saat engkau memulai aktiviti harianmu. Kau bangun tanpa sujud mengerjakan subuhmu Bahkan kemudian, kau juga tidak mengucapkan "Bismillah" sebelum memulai santapanmu.


Juga tidak sempat mengerjakan shalat Isyak sebelum berangkat ketempat tidurmu Kau benar2 orang yang bersyukur, Aku menyukainya Aku tak dapat mengungkapkan betapa senangnya aku melihatmu tidak merubah cara hidupmu. Hai Si JAHIL, Kamu millikku.


Ingat, kau dan aku sudah bertahun-tahun bersama, dan aku masih belum bisa benar2 mencintaimu . Malah aku masih membencimu, karena aku benci Allah. Aku hanya menggunakanmu untuk membalas dendamku kepada Allah. Dia sudah mencampakkan aku dari syurga, dan aku akan tetap memanfaatkanmu sepanjang masa untuk mebalaskannya.


Kau lihat, ALLAH MENYAYANGIMU dan dia masih memiliki rencana-rencana untukmu dihari depan. Tapi kau sudah menyerahkan hidupmu padaku, dan aku akan membuat kehidupanmu seperti neraka. Sehingga kita bisa bersama dua kali dan ini akan menyakiti hati ALLAH Aku benar-benar berterimakasih padamu, karena aku sudah menunjukkan kepada NYA siapa yang menjadi pengatur dalam hidupmu.


Dalam masa2 yang kita jalani kita menonton film 'porno' bersama, memaki orang, mencuri, berbohong, munafik, makan sekenyang-kenyangya, bergosip, manghakimi orang, menghujam orang dari belakang, tidak hormat pada orang tua , Tidak menghargai Masjid, berperilaku buruk.


TENTUNYA kau tak ingin meninggalkan ini begitu saja. Ayuhlah, Hai Si Jahil, kita terbakar bersama, selamanya. Aku masih memiliki rencana2 hangat untuk kita. Ini hanya merupakan surat penghargaanku untuk mu. Aku ingin mengucapkan 'TERIMAKASIH' kerana sudah mengizinkanku memanfaatkan hampir semua masa hidupmu.


Kamu memang sangat mudah dibodohi, aku mentertawakanmu. Saat kau tergoda berbuat dosa kamu menghadiahkan tawa. Dosa sudah mulai mewarnai hidupmu. Kamu sudah 20 tahun lebih tua, dan sekarang aku perlu darah muda.


Jadi, pergi dan lanjutkanlah mengajarkan orang-orang muda bagaimana berbuat dosa. Yang perlu kau lakukan adalah merokok, mabuk, berbohong, berjudi, bergosip, dan hiduplah se-egois mungkin. Lakukan semua ini didepan anak-anak dan mereka akan menirunya. Begitulah anak-anak .




Baiklah, aku persilakan kau bergerak sekarang. Aku akan kembali beberapa detik lagi untuk menggoda mu lagi. Jika kau cukup cerdas, kau akan lari sembunyi, dan bertaubat atas dosa-dosamu. Dan hidup untuk Allah dengan sisa umurmu yang tinggal sedikit. Memperingati orang bukan tabiatku, tapi diusiamu sekarang dan tetap melakukan dosa, sepertinya memang agak aneh. Jangan salah sangka, aku masih tetap membencimu. Hanya saja kau harus menjadi orang jahil yang lebih baik di mata Allah.


SETEPAK SIREH SEJUNJUNG PINANG

"Tidak perlu mencari teman secantik BALQIS, andai diri tidak sehebat SULAIMAN. Mengapa mengharap teman setampan YUSOF,jika kasih tidak setulus ZULAIKHA , tidak perlu mecari teman seteguh IBRAHIM, andai diri tidak sekuat HAJAR dan mengapa didamba teman hidup sesempurna MUHAMMAD, jika keburukan pada dirimu masih ada."

Mutiara hikmah di atas membuatkan saya berfikir sejenak mengenainya. Kadangkala kita terlalu mencari yang sempurna tetapi hakikatnya kita tidak seperti itu. Setiap manusia dijadikan berpasang-pasangan oleh Allah S.W.T. Cuma kita tidak mengetahui siapa pasangan kita yang sebenarnya. Apabila sampai masa tersebut kita akan dipertemukan dengan 'Mr Right' atau 'Mrs Right'.  

Ia mungkin datang tanpa kita sedari, mungkin sekali imbas sahaja tanpa kita sedari itulah jodoh kita. Hanya yang mampu kita lakukan hanya berdoa di samping usaha yang gigih agar dipertemukan dengan jodoh yang soleh dan solehah. 

Walau bagaimanapun, harus diingat untuk mencari yang terbaik adalah terlalu sukar tambahan kita tidak cuba untuk menjadikan diri kita antara yang terbaik. Manusia tiada yang sempurna, oleh kerana itulah Allah telah menjadikan di antara mereka berpasang-pasangan agar boleh melengkapi di antara satu sama lain. Hal ini boleh dirujuk pada Surah Ar Rom ayat 21. 

Namun begitu, harus diingat bahawa perlulah sentiasa ditanam azam untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Pemilihan pasangan adalah penting. Oleh kerana itu syariat telah mengharuskan ummat islam supaya mencari yang sekufu dengan mereka agar dapat menghidupkan mahabbah dan mawaddah dalam kehidupan berumah tangga kelak. 


Hal ini kerana, kehidupan dalam melayari alam rumah tangga diibaratkan seperti sebuah kapal, nakhoda dan anak-anak kapalnya. Jika Nakhoda mampu mengendalikan kapal melawan arus yang melanda kapal dan anak-anak kapalnya akan selamat sampai ke destinasi yang dituju, begitulah hal jika sebaliknya. 

Selain itu, pemilihan pasangan juga penting bagi menjamin kelangsungan keturunan yang akan dilahirkan. Hal ini bertepatan dengan hadis nabi S.A.W dinikahi wanita itu di atas empat perkara, kecantikannya, kekayaannya, keturunannya dan agamanya, maka lihatlah daripada sudut agamanya maka akan beruntunglah kamu'. 

Hadis ini bukan sahaja ditujukan untuk lelaki malahan wanita juga dalam memilih kriteria pasangan masing-masing. Justeru itu, renung-renungkanlah diri kita dimanakah tahap kita, pemilihan pasangan yang baik dan menepati kehendak syariat adalah aspek yang penting dewasa ini. 

Dalam kita menelusi 'dunia tanpa sempadan' hari ini kekuatan spiritual, disamping mental dan fizikal amat penting bagi setiap pasangan. Permulaan yang baik harus dijaga adalah perhubungan sebelum melangkah ke alam perkahwinan lagi, jika batasan-batasan ini dijaga ia merupakan aset bernilai bagi melahirkan 'permata-permata' yang bisa menggoncang dunia. Wallahualam

SOLAT SUNAT ISTIKHARAH PANDUAN DAN DOANYA


Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam keraguan memutuskan mana yang terbaik diantara dua perkara yang diragukan. Jika timbul keraguan dalam hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu perkara, contohnya: apakah aku harus menolak atau menerima? Keraguan makin terasa, keputusan tidak dapat dipastikan setelah melihat masing-masing ada kelebihan dan keburukannya.


Oleh yang demikian, hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang mengambil keputusan ia dianjurkan solat istikharah dua rakaat.


Dengan mengharapkan agar ditunjukkan Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan membaca doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut. Selepas itu, bertawakkal kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah ‘hati’ lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah bahawa itu adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa.

Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan yang tidak disukai. Ingatlah bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan, besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang, hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.


Tata Cara Shalat Istikharah


Tata cara solat istikharah lebih kurang sama dengan solat subuh, Hanya niatnya saja yang berlainan, iaitu berniat solat istikharah. dilaksanakan sebelum tidur ataupun setelah bangun tidur. Sangat baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih khusyuk dalam mengemukakan permohonan kepada Allah. Solat ini sangat peribadi sifatnya. Sebab itu harus dikerjakan sendirian. Solat ini tidak memakai azan atau iqamah.

Lafaz niat:-

Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini Lillahi Ta’aala

Sahaja Aku sembahyang sunnat istikharah 2 rakat tunai kerana Allah Ta’ala


Rakaat pertama-



Baca surah Al-fatihah dan surah Al-kafirun


Rakaat kedua-


Baca surah Al-fatihah dan surah Al-ikhlas


Selepas salam, bacalah doa yang disarankan dalam istikharah.
Dalam berdoa sebaiknya menyebutkan permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. misalnya: “Ya Allah, jika hal ini….(sebutkan namanya)” 

Doa istikharah



Setelah selesai solat, berdoa seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:
doa-istikhaerah
Allaahumma inni astakhiiruka bi’ilmika, wa astaqdiruka biqudratika wa as aluka min fadhlikal azhiim. Fa innaka taqdiru wa laa aqdiru, wata’lamu wa laa a’lamu, wa anta allaamul ghuyuub.
Allaahumma inkunta ta’lamu anna haadzal amra khairun lii fii diinii wama’aasyii wa ‘aaqibati amrii, ‘aajili amrii wa aajilihi faqdurhu lii wa yassirhu lii tsumma baarikliifiihi. Wa inkunta ta’lamu anna haadzal amra syarrun lii fii diinii wa ma’aasyii wa ‘aaqibatu amrii ‘aajili amrii wa aajilihi fashrif annii washrifni ‘anhu waqdur liyal khairahaytsu kaana tsumma ardhinii bihi, innaka ‘alaa kulli syai-in qadiir
Ertinya:-


“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.
Ya Allah, jika hal ini (***) dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya.
Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini (***) akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”  


"Sesungguhnya solat ini amat baik bagi mereka yang ragu-ragu atau tidak yakin untuk membuat keputusan. Sebagai seorang Muslim kebergantungan kepada Allah amatlah penting. Namun begitu, solat ini bukanlah hanya semata untuk kita mencari jodoh. Fahaman masyarakat setempat mengenai hal ini perlulah diubah. Sebagai seorang pelajar pun jika sedang menghadapi peperiksaan boleh melakukan solat ini bagi tujuan supaya Allah memberi petunjuk terhadap sesuatu yang terbaik dengan syarat perlu disertai dengan usaha". Wallahualam.


PEMBUKTIAN TAKLIK TANPA KEHADIRAN DEFENDAN DI MAHKAMAH SYARIAH MENURUT AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM WP KL 1984

Faktor utama menentukan penceraian secara taklik menurut amalan di Malaysia adalah berdasarkan perlanggaran lafaz taklik yang dilafazkan oleh pihak suami semasa akad nikah perkahwinan. Apabila pihak suami melakukan perlanggaran terhadap lafaz taklik ini maka isteri berhak mendapat cerai dalam keadaan tersebut.

Oleh itu, dalam hal demikian mahkamah akan meneliti setiap keterangan saksi dan pihak-pihak serta dokumen berkaitan bagi menentukan pembuktian kepada perlanggaran lafaz taklik tersebut. Mahkamah akan merujuk kepada surat perakuan nikah yang didaftarkan di Jabatan Agama yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan pendaftaran pernikahan. Setiap negeri mempunyai lafaz taklik yang berbeza.

Merujuk kepada lafaz taklik di Wilayah Persekutuan perlu dibuktikan perlanggaran beberapa elemen yang dilakukan oleh pihak suami. Mahkamah akan bertanyakan kepada suami berhubung tuntutan pihak isteri sama ada beliau mengakuinya atau tidak. Walau bagaimanapun, isunya di sini, prosedur ini akan menjadi lebih mudah apabila Defendan atau pihak suami hadir pada hari perbicaraan kes tetapi jika ia berlaku sebaliknya seperti pihak Defendan ghaib, tidak dapat dikesan atau tidak mahu hadir ke mahkamah. Maka dalam hal ini, mahkamah akan merujuk kepada keterangan pihak Plaintif, saksi-saksinya dan dokumen yang berkaitan bagi menentukan sama ada berlaku perlanggaran kepada lafaz taklik tersebut seterusnya mensabitkan penceraian secara taklik sebagaimana yang dituntut oleh pihak Plaintif.

Oleh itu, mahkamah amat mementingkan penelitian yang jitu bagi memastikan keadilan pihak-pihak dapat diwujudkan supaya kezaliman dapat ditolak.

2.1 Penyampaian dan penyempurnaan saman

Syarat utama dalam pembuktian taklik tanpa kehadiran Defendan ialah penyampaian dan penyempurnaan saman. Undang-undang substantif telah memperuntukkan bahawa setiap saman dan pernyataan tuntutan mestilah disampaikan kepada Defendan atau wakilnya sebelum suatu perbicaraan itu diadakan. Ini bertujuan supaya Defendan mempunyai masa yang cukup bagi membuat persediaan untuk menjawab tuntutan pihak Plaintif.

Walau bagaimanapun, bagaimanakah jika saman tersebut tidak dapat disempurnakan kerana Defendan ghaib atau tidak diketahui di mana dia berada sedangkan prosiding perbicaraan tidak boleh dimulakan selagi saman tidak sempurna. Saman mesti disempurnakan secara kendiri dalam tempoh 7 hari sebelum hari perbicaraan kecuali jika terdapat perintah daripada mahkamah sebaliknya. Hal ini jelas dalam peruntukkan seksyen 45(1), 59(1) dan 48(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998. Serahan secara kendiri adalah bagi memastikan wujudnya keadilan bagi kedua-dua pihak.

Namun begitu, jika saman secara kendiri tidak dapat disempurnakan kepada Defendan maka sebagai alternatifnya saman secara gantian boleh dilakukan samada melalui tampalan notis di tempat-tempat yang boleh dilihat oleh Defendan seperti masjid, alamat terakhir Defendan, di mana-mana bangunan yang difikirkan munasabah alamat tempat kerja Defendan dan boleh melalui iklan dalam suratkhabar harian. Walau bagaimanapun, serahan saman yang dibuat secara gantian, kesannya adalah sama seperti saman secara kendiri di sisi undang-undang. Hal ini boleh dirujuk pada seksyen 48(4) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998 (Lembaga Penyelidikan Undang-Undang 2008).

Namun begitu, saman yang diserahkan secara gantian perlu disokong dengan affidavit penyerahan. Penghantar saman atau pegawai mahkamah perlu membuat affidavit penyerahan setelah saman gantian dilakukan.

2.2 Bukti penyampaian Saman

Bukti penyampaian saman perlu dilakukan setelah saman secara gantian telah disempurnakan sebagaimana yang dinyatakan di atas. Sekiranya penyempurnaan saman secara gantian telah dilaksanakan maka secara automatiknya, mahkamah boleh menerimanya dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan berdasarkan kepada peruntukkan undang-undang (Rusmah Md. Sham 2009: 23).

Oleh itu, setelah saman secara gantian telah disempurnakan penghantar saman atau pegawai yang ditugaskan akan membuat affidavit sebagai bukti penyampaian saman dilakukan secara gantian. Seterusnya akan diserahkan kepada mahkamah melalui affidavit penyampaian dan affidavit penampalan. Walau bagaimanapun, terdapat keadaan di mana Defendan tidak mahu menerima saman yang dihantar oleh penghantar saman. Dalam keadaan ini, penghantar saman tersebut boleh meletakkan sahaja saman serta pernyataan tuntutan dihadapan Defendan. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Defendan telah menerima saman tersebut. Apabila penghantar saman tersebut pulang ke pejabatnya dia akan membuat satu affidavit penyampaian sebagai bukti bersumpah saman secara gantian tersebut telah disempurnakan. Mahkamah akan menyifatkan saman secara gantian tersebut telah disempurnakan penyampaiannya kepada Defendan.

Ironinya, setelah saman secara telah disempurnakan sama ada secara kendiri atau gantian mahkamah akan memulakan prosiding untuk mendengar perbicaraan kes taklik ini dalam tempoh masa yang minima sekiranya semua prosedur yang ditetapkan telah dipenuhi.

2.3 Kuasa Mahkamah yang mendengar tuntutan

Setelah mahkamah berpuas hati dengan penyampaian saman serta affidavit yang telah difailkan maka satu perbicaraan akan dijalankan tanpa kehadiran Defendan. Umumnya pihak-pihak yang bertikai boleh hadir sendiri atau hadir dengan diwakili oleh peguam syarie masing-masing. Ini dapat dilihat dalam peruntukkan pada seksyen 120(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998. Namun begitu, apabila Defendan tidak hadir mahkamah boleh membicarakan kes atau prosiding taklik tersebut tanpa kehadiran Defendan serta boleh memberi penghakiman berdasarkan kepada bukti dan keterangan-keterangan yang ada serta setelah mahkamah menerima bukti saman telah disempurnakan. Namun begitu, mahkamah boleh membuang kes jika pihak Plaintif atau wakilnya tidak hadir ke mahkamah. Ini secara jelas diperuntukkan pada seksyen 121(a)(b)(c) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998.

Oleh itu, jelas bahawa perbicaraan tanpa kehadiran Defendan adalah dibenarkan selepas mahkamah berpuas hati saman telah disempurnakan sama ada melalui penyampaian kendiri atau gantian. Afidavit penyampaian yang difailkan oleh Plaintif atau wakilnya akan menjadi bukti penyampaian saman telah disempurnakan. Perlu diingat bahawa penyampaian secara gantian hanya dibenarkan oleh mahkamah jika dibuktikan saman secara kendiri tidak dapat disempurnakan.

2.4 Elemen-elemen pembuktian taklik menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984

Terdapat beberapa elemen yang perlu dibuktikan bagi membuktikan suatu prosiding taklik di mahkamah syariah. Antaranya,

a. Wujudnya akad nikah perkahwinan yang sah antara Plaintif dan Defendan

Bagi membuktikan wujudnya suatu akad nikah perkahwinan yang sah antara Plaintif dan Defendan perlu kepada perakuan nikah yang dikeluarkan oleh badan rasmi seperti Jabatan Agama Islam. Badan ini bertanggungjawab mengeluarkan surat perakuan nikah kerana segala pendaftaran berkaitan nikah rujuk dan cerai diuruskan oleh badan ini. Apabila suatu perakuan nikah itu diragui atau telah hilang dalam simpanan badan ini akan menjadi rujukan.

Oleh itu, apabila suatu pihak memfailkan tuntutan taklik maka pihak yang membuat tuntutan tersebut perlu mengemukakan Sijil Perakuan Nikah yang sah di sisi undang-undang. Sekiranya gagal membawa dokumen yang menunjukkan bahawa telah berlakunya satu perkahwinan yang sah antara pihak-pihak. Namun begitu, jika berlaku sebaliknya pihak-pihak perlu membuat pengesahan perkahwinan terlebih dahulu.

Di samping itu, mahkamah juga boleh mengeluarkan perintah bagi suatu permohonan penceraian sebagaimana yang diperintahkan yang dinyatakan iaitu kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata tiada apa-apa jua dalam akta ini membolehkan membuat sesuatu perintah penceraian atau perintah mengenai penceraian atau membenarkan seorang suami melafazkan talak kecuali:

i. Jika perkahwinan itu didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan mengikut akta ini atau

ii. Jika perkahwinan itu dilangsungkan mengikut hukum syarak dan

iii. Jika permastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan di dalam Wilayah Persekutuan.

Perkataan ‘perintah penceraian’ dalam seksyen ini merujuk kepada perintah penceraian yang dibuat dengan kuasa mahkamah sama ada secara fasakh, taklik, khuluk dan lain-lain lagi (Rusmah Md. Sham 2009: 26).

b. Defendan berlafaz taklik atau tidak semasa akad nikah perkahwinan

Bagi membuktikan Defendan berlafaz taklik atau tidak perlu kepada keterangan saksi-saksi semasa berlakunya akad nikah tersebut serta keterangan pihak Plaintif sendiri. Bagi keterangan saksi bukan hanya saksi yang dinyatakan dalam surat perakuan nikah sahaja tetapi mana-mana saksi sama ada yang melihat, mendengar atau mengetahui keadaan yang berlaku semasa akad nikah tersebut dijalankan serta boleh memberi keterangan dalam mahkamah (Lembaga Penyelidikan Undang-Undang 2008). Hal ini boleh dirujuk pada seksyen 46 Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Manakala pengakuan Plaintif secara automatik akan diterima kerana ketidakhadiran Defendan menunjukkan dia membenarkan semua tuntutan pihak Plaintif. Selain daripada keterangan lisan yang ada, keterangan secara dokumen juga boleh dirujuk melalui surat perakuan nikah. Kepentingan surat perakuan nikah ini adanya tandatangan pihak Defendan dan Pendaftar Perkahwinan yang menunjukkan adanya lafaz taklik semasa akad nikah perkahwinan. Perkara-perkara ini menjadi bukti prima facie di mahkamah.

c. Berlakunya perlanggaran terhadap lafaz taklik oleh Defendan

Lafaz taklik yang tercatat di dalam surat perakuan nikah mengandungi beberapa syarat yang mengikat Defendan supaya tidak melanggarinya. Iaitu:-

i. Pihak suami telah meninggalkan isterinya selama empat bulan qamariah atau lebih sama ada dengan sengaja atau dengan paksa: dan

ii. Pihak suami atau wakil suami tidak memberikan nafkah kepadanya selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih sedangkan dia taat kepada suami: atau

iii. Jika pihak suami menyebabkan mudarat terhadap tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya atau menyebabkan penganiayaan atau sebarang darar syarie.

Syarat-syarat yang dinyatakan di atas mengikat pihak Defendan supaya tidak melakukan perkara-perkara tersebut dalam tempoh mereka hidup sebagai suami dan isteri. Walau bagaimanapun, sekiranya Defendan melakukan perlanggaran dua daripada syarat tersebut maka penceraian secara taklik boleh berlaku setelah dibuktikan di mahkamah. Hal ini adalah penting dari sudut perundangan dan ia perlu difahami secara jelas oleh pihak-pihak yang terlibat.

Namun begitu, ketika pihak Plaintif membuat tuntutan penceraian secara taklik perkara yang menjadi elemen penting pembuktiannya adalah merujuk kepada dua elemen iaitu pihak Defendan telah meninggalkan isterinya melebihi tempoh empat bulan qamariah secara berturut-turut dan dia atau wakilnya tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh melebihi empat bulan qamariah secara berturut-turut. Di samping dua elemen penting ini, berlakunya apa-apa perkara yang boleh menimbulkan kemudaratan secara syarie kepada isteri juga antara syarat berlakunya perlanggaran kepada lafaz taklik yang membolehkan penceraian secara taklik berlaku.

Perkataan ‘tinggal’ di dalam lafaz taklik termasuklah meninggalkan isteri secara sengaja atau tidak atau dalam keadaan marah dan dendam ataupun dipenjarakan selama 4 bulan. Ia dikira sebagai perlanggaran kepada syarat taklik yang dilafazkan. Manakala perkataan ‘nafkah’ pula merujuk kepada nafkah zahir iaitu apa-apa perbelanjaan yang melibatkan penginapan, makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Selain itu, Plaintif perlu membuktikan bahawa dalam tempoh perkhwinan tersebut Plaintif tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah. Jika berlaku nusyuz walaupun telah berlaku perlanggaran kepada dua syarat taklik tersebut tuntutan penceraian secara taklik akan ditolak oleh mahkamah.

Namun begitu, sekiranya kedua-dua syarat tersebut tidak wujud tetapi Defendan telah melakukan kemudharatan kepada tubuh badan Plaintif atau dengan kata lain memukul atau mencederakan Plaintif maka dikira berlaku juga klausa perlanggaran kepada lafaz taklik tersebut. Ini menunjukkan bahawa Plaintif tidak boleh dipukul atau dicederakan tubuh badannya oleh Defendan. Begitu juga adanya asas dan dakwaan yang kukuh untuk mendakwa Defendan seperti laporan perubatan atau saksi-saksi yang melihat kejadian itu berlaku.

d. Wujudnya pengaduan oleh pihak Plaintif berkenaan tuntutan penceraian secara taklik di Mahkamah Syariah

Setelah syarat-syarat taklik dipenuhi perkara lain yang perlu dilakukan oleh Plaintif ialah membuat pengaduan di Mahkamah Syariah berkaitan tuntutan penceraian secara taklik. Bentuk pengaduan adalah terpulang kepada Plaintif sama ada dengan cara sendiri atau melalui Peguam Syarie yang dilantik oleh pihak Plaintif.

e. Saksi-saksi yang kompeten

Saksi yang dikemukakan ketika perbicaraan mestilah saksi-saksi yang melihat, mendengar dan mengetahui sendiri keadaan ketika akad nikah tersebut berlaku bukannya dari orang ketiga atau dalam kata yang lain kesaksian di atas kesaksian. Perkara yang perlu diambil perhatian ialah saksi-saksi mestilah menepati hukum syarak dan peruntukkan undang-undang kecuali selainnya dari apa yang diperuntukkan iaitu keterangan mestilah diberi oleh dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki bersama dua orang saksi perempuan. Hal ini jelas dalam seksyen 86(5) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

3. KES-KES YANG DISELESAIKAN M ELALUI TAKLIK

Terdapat pelbagai kes penceraian yang dibicarakan di mahkamah dengan menggunakan pelbagai mekanisme atau cara antaranya kaklik. Banyak isu yang perlu dibuktikan bagi membenarkan dakwaan Plaintif supaya tuntutan tTaklik dapat di sabitkan. Antara contoh-contoh kes taklik yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan KL disabit berdasarkan taklik yang dilafazkan oleh pihak Defendan ketika akad nikah mengikut lafaz taklik Wilayah Persekutuan KL.

a) No. Kes : 14004-057-0159-2007[1]

(Tuan Hakim Mohd Naim bin Hj Mokhtar)

Fakta Kes

Plaintif dan Defendan merupakan suami isteri yang sah. Mereka bernikah pada 9 Oktober 1987 dan mempunyai 3 orang cahaya mata yang berumur lingkungan 16 sehingga 12 tahun. Pada awal perkahwinan sehingga Ogos 2002 perkahwinan pihak-pihak dalam keadaan aman. Sehinggalah pada suatu hari, Defendan telah keluar dari rumah meninggalkan Plaintif dan anak-anak untuk berkahwin satu lagi. Defendan tidak pernah balik ke rumah selepas itu sehingga tahun 2007 melebihi tempoh 5 tahun. Selama tempoh itu Defendan atau wakil Defendan tidak pernah memberi nafkah kepada Plaintif dan anak-anak. Plaintif tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah. Akibat dari perbuatan Defendan itu, Plaintif telah mengalami tekanan emosi dan mental akibat penganiayaan yang dilakukan oleh Defendan sebagai seorang suami yang tidak bertanggungjawab.

Saman secara kendiri tidak dapat disempurnakan kerana Defendan ghaib. Saman secara gantian telah dibuat melalui tampalan iklan dalam suratkhabar dan kes telah dibicarakan tanpa kehadiran Defendan. Plaintif diwakili oleh peguam dari Biro Bantuan Guaman KL.

Oleh itu, dalam kes ini, alasan yang digunakan oleh Plaintif bagi mensabitkan Takliknya ialah Plaintif telah ditinggalkan selama tempoh melebihi 4 bulan berturut-turut dan perbuatan Defendan yang tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama melebihi tempoh 4 bulan berturut-turut.

Keputusan

Mahkamah telah mensabitkan taklik yang telah dilafazkan oleh Defendan selepas akad perkahwinan dan plaintif telah bersumpah Istizdhar berdasarkan pada peruntukkan seksyen 121(2) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1998 iaitu yang membenarkan segala keterangan Plaintif dan saksi-saksi Plaintif ketika memberi keterangan serta menyerahkan wang RM 1.00 sebagai tebus talak bagi pihak suami.

b) No Kes : 14004-057-0278-2007[2]

(Tuan Hakim Mohd Naim bin Hj Mokhtar)

Fakta Kes

Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 25 Disember 2004 di Wilayah Persekutuan. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, mereka tidak memperolehi anak. Pada awal perkahwinan rumah tangga Plaintif dan Defendan dalam keadaan aman dan bahagia. Pada awal tahun 2007 Defendan mula berubah dengan bersikap kasar terhadap Plaintif. Defendan telah memukul Plaintif sehingga cedera. Oleh sebab itu, Plaintif telah membuat laporan polis yang bertarikh 7 Januari 2007 serta mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Pada 17 Januari tahun yang sama Plaintif telah bertindak keluar dari rumah kelamin kerana tidak tahan dengan perangai Defendan yang kerap memukul Plaintif. Semasa tempoh tersebut Defendan atau wakilnya tidak pernah memberikan nafkah kepada Plaintif.

Oleh yang demikian, Plaintif telah memfailkan permohonan penceraian secara taklik berdasarkan peruntukkan seksyen 50 AUKI 1984 dengan alasan-alasan seperti berikut:

i. Defendan telah meninggalkan Plaintif melebihi 4 bulan qamariah berturut-turut.

ii. Defendan atau wakil beliau tidak memberi apa-apa nafkah kepada Plaintif melebihi 4 bulan qamariah berturut-turut.

Keputusan

Setelah mahkamah meneliti segala keterangan Plaintif dan saksi-saksinya serta meneliti dokumen-dokumen berkaitan tuntutan, di samping sumpah Istidzhar yang telah dilafazkan oleh pihak Plaintif mahkamah sabitkan Defendan telah melakukan perlanggaran terhadap lafaz taklik yang dilafazkan oleh beliau semasa akad nikah perkahwinan. Mahkamah telah menerima RM1.00 sebagai tebus talak dan memerntahkan Plaintif untuk beriddah dengan iddah 3 kali suci.

c) No Kes : 14004-057-0588-2007[3]

(Tuan Hakim Mohd Naim bin Hj Mokhtar)

Fakta Kes

Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 20 Januari 1996 di Melaka. Sepanjang tempoh perkahwinan pihak-pihak dikurniakan seorang cahayamata. Pada awal tahun 1998 Plaintif telah membuat permohonan untuk bercerai. Walau bagaimanapun, Plaintif telah menarik permohonan tersebut pada tarikh 24 Januari 1998. Pada pertengahan 2007 Plaintif telah memfailkan kembali permohonan untuk bercerai secara taklik atas beberapa alasan antaranya Defendan atau wakilnya telah tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh 4 tahun, dalam tempoh itu juga, Defendan telah meninggalkan Plaintif dan anaknya serta tidak pernah menghubungi Plaintif.

Sebelum meninggalkan rumah kelamin, Defendan telah bertindak memecahkan pintu rumah mereka, mencuri beberapa harta milik Plaintif, memarahi Plaintif apabila Plaintif menghantar anak mereka bersekolah di sekolah agama berhampiran, menunjukkan beberapa gambar lucah kepada Plaintif, menyuruh Plaintif melacurkan diri, mengirimkan banyak gambar lucah kepada Plaintif melalui MMS, menyebarkan gambar lucah isterinya, menuduh Plaintif melakukan sihir kepadanya, mencuri pakaian dalam milik Plaintif dan anaknya bertujuan untuk membuat fitnah, mencuri kunci rumah Plaintif, bersubahat dengan kakak Plaintif yang bernama Zainah untuk meminjam wang di Maybank sebanyak RM400,000.00 dan berhasrat untuk menjual anak perempuannya bagi tujuan melangsaikan hutang tersebut.

Keputusan

Mahkamah telah mensabitkan taklik yang telah dilafazkan oleh Defendan selepas akad perkahwinan dan plaintif telah bersumpah Istizdhar iaitu yang membenarkan segala keterangan Plaintif dan saksi-saksi Plaintif ketika memberi keterangan serta menyerahkan wang RM 1.00 sebagai tebus talak bagi pihak suami.

3.1 Statistik kes tuntutan pengesahan cerai taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi tahun 2005 hingga 2008

Bilangan

Tahun

Bil. Kes taklik

Bil. Kes Penceraian keseluruhan

Peratusan kes taklik

1.

2005

142

4123

3.44 %

2.

2006

113

4834

2.34%

3.

2007

85

5597

1.52%

4.

2008

65

6181

1.05%

Statistik di atas menunjukkan bilangan kes tuntutan pengesahan cerai taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi tahun 2005 hingga 2008. Secara umumnya jelas bahawa berlaku penurunan bilangan kes penceraian yang diselesaikan melalui taklik dari tahun 2005 hingga 2008. Walau bagaimanapun, bilangan kes penceraian secara keseluruhannya adalah meningkat dari tahun 2005 hingga 2008.

Menurut Cik Irakartini binti Chairullah, yang mengendalikan pendaftaran kes penceraian secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur penurunan ini berlaku disebabkan beberapa perkara antaranya pihak yang membuat permohonan pada mulanya memfailkan kes tersebut bagi pengesahan tuntutan pengesahan taklik kemudian atas perundingan pihak-pihak yang terlibat mereka bersetuju untuk menarik kembali tuntutan untuk bercerai secara taklik seterusnya pihak suami bersetuju untuk bercerai di dalam mahkamah melalui peruntukkan dalam sek 47 AUKI 1984. Selain itu juga, pembuktian bagi kes taklik adalah sukar. Hakim akan meneliti secara terperinci sama ada berlaku atau tidak perlaggaran kepada lafaz taklik semasa akad perkahwinan. Hal ini kerana lafaz taklik bagi Wilayah Persekutuan perlu dibuktikan beberapa aspek:

iv. Pihak suami telah meninggalkan isterinya selama empat bulan qamariah atau lebih sama ada dengan sengaja atau dengan paksa: dan

v. Pihak suami atau wakil suami tidak memberikan nafkah kepadanya selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih sedangkan dia taat kepada suami: atau

vi. Jika pihak suami menyebabkan mudarat terhadap tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya atau menyebabkan penganiayaan atau sebarang darar syarie.

Selain itu, bagi kes pengesahan lafaz taklik bukan berdasarkan lafaz taklik akad nikah perkahwinan, Hakim akan meneliti fakta kes serta keterangan-keterangan yang ada bagi mebuktikan wujudnya perlanggaran kepada taklik yang telah dilafazkan oleh pihak suami. Menurut Cik Irakartini lagi, pernah pada suatu masa banyak kes taklik yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah terpaksa ditolak disebabkan penceraian secara taklik tidak sesuai kerana fakta-fakta kesnya adalah tidak bersesuaian dan pembuktian terhadap perlanggaran lafaz taklik terlalu lemah.

4. PENUTUP

Apabila suatu perkahwinan tersebut tidak dapat diselamatkan lagi Islam menghendaki sebarang proses penceraian diselesaikan dengan cara yang baik. Taklik merupakan satu alternatif yang boleh digunakan bagi menuntut penceraian oleh pihak isteri yang telah ditinggal oleh pihak suami tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Perbicaraan tanpa kehadiran pihak suami adalah dibenarkan apabila pihak suami atau Defendan tidak mengendahkan saman atau ghaib dan lain-lain perkara yang menghalang kehadirannya di mahkamah.

Namun begitu, dalam kes-kes isteri yang ditinggalkan oleh suami mereka bukan sahaja dinafikan nafkah zahir dan batin walhal mereka juga terpaksa bekorban membesarkan anak-anak sendirian tanpa sokongan pihak suami mereka. Jika sekiranya prosiding perbicaraan tidak dapat dilakukan tanpa kehadiran Defendan maka ini akan berlakulah penganiayaan kepada pihak isteri. Ini merupakan alasan yang kuat membolehkan mahkamah melakukan perbicaraan demi menjaga kepentingan pihak isteri dan anak-anaknya.

Ironinya, pembuktian taklik tanpa kehadiran Defendan di Mahkamah Syariah adalah dibenarkan bagi menjaga kepentingan pihak yang membuat tuntutan. Mahkamah bertanggungjawab membuat penelitian secara terperinci berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang ada sama ada secara lisan atau dokumen.