"Tidak perlu mencari teman secantik BALQIS, andai diri tidak sehebat SULAIMAN. Mengapa mengharap teman setampan YUSOF,jika kasih tidak setulus ZULAIKHA , tidak perlu mecari teman seteguh IBRAHIM, andai diri tidak sekuat HAJAR dan mengapa didamba teman hidup sesempurna MUHAMMAD, jika keburukan pada dirimu masih ada."
Mutiara hikmah di atas membuatkan saya berfikir sejenak mengenainya. Kadangkala kita terlalu mencari yang sempurna tetapi hakikatnya kita tidak seperti itu. Setiap manusia dijadikan berpasang-pasangan oleh Allah S.W.T. Cuma kita tidak mengetahui siapa pasangan kita yang sebenarnya. Apabila sampai masa tersebut kita akan dipertemukan dengan 'Mr Right' atau 'Mrs Right'.
Ia mungkin datang tanpa kita sedari, mungkin sekali imbas sahaja tanpa kita sedari itulah jodoh kita. Hanya yang mampu kita lakukan hanya berdoa di samping usaha yang gigih agar dipertemukan dengan jodoh yang soleh dan solehah.
Walau bagaimanapun, harus diingat untuk mencari yang terbaik adalah terlalu sukar tambahan kita tidak cuba untuk menjadikan diri kita antara yang terbaik. Manusia tiada yang sempurna, oleh kerana itulah Allah telah menjadikan di antara mereka berpasang-pasangan agar boleh melengkapi di antara satu sama lain. Hal ini boleh dirujuk pada Surah Ar Rom ayat 21.
Namun begitu, harus diingat bahawa perlulah sentiasa ditanam azam untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Pemilihan pasangan adalah penting. Oleh kerana itu syariat telah mengharuskan ummat islam supaya mencari yang sekufu dengan mereka agar dapat menghidupkan mahabbah dan mawaddah dalam kehidupan berumah tangga kelak.
Hal ini kerana, kehidupan dalam melayari alam rumah tangga diibaratkan seperti sebuah kapal, nakhoda dan anak-anak kapalnya. Jika Nakhoda mampu mengendalikan kapal melawan arus yang melanda kapal dan anak-anak kapalnya akan selamat sampai ke destinasi yang dituju, begitulah hal jika sebaliknya.
Selain itu, pemilihan pasangan juga penting bagi menjamin kelangsungan keturunan yang akan dilahirkan. Hal ini bertepatan dengan hadis nabi S.A.W dinikahi wanita itu di atas empat perkara, kecantikannya, kekayaannya, keturunannya dan agamanya, maka lihatlah daripada sudut agamanya maka akan beruntunglah kamu'.
Hadis ini bukan sahaja ditujukan untuk lelaki malahan wanita juga dalam memilih kriteria pasangan masing-masing. Justeru itu, renung-renungkanlah diri kita dimanakah tahap kita, pemilihan pasangan yang baik dan menepati kehendak syariat adalah aspek yang penting dewasa ini.
Dalam kita menelusi 'dunia tanpa sempadan' hari ini kekuatan spiritual, disamping mental dan fizikal amat penting bagi setiap pasangan. Permulaan yang baik harus dijaga adalah perhubungan sebelum melangkah ke alam perkahwinan lagi, jika batasan-batasan ini dijaga ia merupakan aset bernilai bagi melahirkan 'permata-permata' yang bisa menggoncang dunia. Wallahualam
No comments:
Post a Comment