1. NAS-NAS DARI AL QURAN BERKAITAN DENGAN PENSYARIATAN QADHA’ BESERTA WAJHUL ISTIDLAL.
a) Surah an-Nisa’ ayat 105
Wajhul Istidlal
Ayat di atas jelas menunjukkan Rasulluhlah sendiri bertindak sebagai hakim utama dalam menyelesaikan pertelingkahan pihak-pihak. Ada kalanya baginda menjatuhkan hukuman dan menyelesaikan persengketaan berdasarkan undang-undang Allah yang hak. Allah S.W.T telah memperingatkan baginda dan hakim-hakim yang lain berkaitan hal ini. Maka sudah semestinya mewujudkan institusi kehakiman Islam disyariat dan wajib dilaksanakan. Undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu undang-undang Islam.
Islam memerintahkan agar keadilan mutlak ditegakkan dan kezaliman dihapuskan. Keadilan hanya akan dapat ditegakkan jika ia berdasarkan sistem perundangan yang adil sebagaimana yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Jika keadilan ini tidak ditegakkan maka kezaliman akan melata. Sesungguhnya undang-undang Islam perlulah ditadbir dengan adil, cekap, amanah bagi membuktikan keadilan, kesaksamaan dan keunggulannya.
b) Surah al-Saad ayat 26
Maksudnya:
Wahai Daud sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu sebagai Khalifah di muka bumi ini. Maka berilah keputusan (hukuman) di antara manusia dengan adil dan saksama serta janganlah kamu mengikut hawa nafsu semata kerana sesungguhnya ia akan menjadikan kamu sesat dari jalan Allah. Ketahuilah bahawa orang-orang yang sesat dari jalan Allah itu akan menerima azab yang berat kerana mereka telah melupakan hari perhitungan yakni hari akhirat.
Wajhul Istidlal
Ayat di atas sebenarnya ditujukan kepada Nabi Daud. Namun begitu, ia juga meliputi semua pemerintah dan hakim. Allah memerintahkan para pemerintah dan hakim menjalankan hukuman dengan adil dan saksama tanpa dipengaruhi hawa nafsu kerana hawa nafsu sentiasa mengheret manusia ke jalan yang sesat dan batil. Selain itu, Allah telah memerintahkan para Rasul supaya menegakkan keadilan, tidak berlaku zalim, menjatuhkan hukuman dengan adil dan saksama bagi menjadi contoh dan teladan kepada para pemerintah dan hakim-hakim yang terkemudian. Kaum Muslim juga ditegah daripada melakukan kekejaman dan hendaklah bersikap adil (Mahmud Saedon 1996: 32).
c) Surah al-Maidah ayat 49
Maksudnya:
Maksudnya:
Dan hendaklah kamu menghukumkan antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka serta berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diperturunkan oleh Allah kepadamu. Jika mereka berpaling dari hukuman yang telah diperturunkan oleh Allah maka ketahuilah bahawa Allah akan menimpakan bencana kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka itu. Sesungguhnya kebanyakkan daripada mereka itu adalah dari golongan orang-orang yang fasik.
Wajhul Istidlal
Manakala ayat di atas ini memperincikan berkaitan perintah dari Allah kepada Rasulluhlah s.a.w. dan umatnya agar menjatuhkan hukuman dan menyelesaikan pertikaian berdasarkan kepada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Jika beberapa orang nabi terdahulu dikehendaki menghukum berdasarkan kitab Taurat maka setelah wahyu diturunkan oleh Allah S.W.T dan as-Sunnah maka dikehendaki menghukum berdasarkan sumber-sumber autoriti tersebut.
Melalui undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan inilah ia pasti akan dapat menjamin kebahagiaan, keamanan dan keadilan yang jitu. Melaksanakannya menjadi tuntutan syarak sebagaimana jelas dalam firman Allah S.W.T,
Maksudnya:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah atau ingkar dengannya maka mereka adalah golongan orang-orang yang kafir.
Ayat ini jelas menerangkan bahawa golongan yang tidak menghukum berdasarkan ketetapan Allah iaitu syariat Islam akan tergolong dalam golongan fasik atau zalim kerana menyeleweng serta berpaling dari undang-undang Islam dan seterusnya mereka mereka juga tergolong dalam golongan orang-orang yang kafir kerana kecenderungan hatinya didorong untuk mengingkari undang-undang Islam.
Wahai orang-orang yang beriman ! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, saksi-saksi yang memberi keterangan kerana Allah S.W.T sekalipun ia melibatkan diri kamu sendiri, ibu bapa atau kaum kerabat kamu. Jika orang yang didakwa itu sama ada kaya atau miskin janganlah kamu terpengaruh untuk berkata benar ketika menjadi saksi. Hal ini kerana hanya Allah yang berhak untuk bertimbang rasa kepada dua keadaan ini. Oleh itu, jangan kamu turutkan hawa nafsu supaya memalingkan diri kamu dari berlaku adil. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan dari menjadi saksi maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lakukan.
d) Surah an-Nisa’ ayat 135
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman ! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, saksi-saksi yang memberi keterangan kerana Allah S.W.T sekalipun ia melibatkan diri kamu sendiri, ibu bapa atau kaum kerabat kamu. Jika orang yang didakwa itu sama ada kaya atau miskin janganlah kamu terpengaruh untuk berkata benar ketika menjadi saksi. Hal ini kerana hanya Allah yang berhak untuk bertimbang rasa kepada dua keadaan ini. Oleh itu, jangan kamu turutkan hawa nafsu supaya memalingkan diri kamu dari berlaku adil. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan dari menjadi saksi maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lakukan.
Wajhul Istidlal
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah memerintahkan semua pihak agar berlaku adil, bukah hanya hakim yang diwajibkan menegakkan keadilan. Pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu pertikaian atau menjadi salah satu pihak dalam pertelingkahan hendaklah berlaku adil. Bagi individu yang menjadi saksi perlulah bersikap seolah-olah menjadi saksi kepada Allah dengan memperlihatkan kebenaran meskipun ia melibatkan suatu perkara yang akan merugikan diri sendiri, ibu bapa dan kaum kerabat.
Demikian juga jika ia melibatkan keadaan status sosial atau ekonomi orang yang mendakwa dari pelbagai lapisan taraf manusia seperti orang kaya, orang miskin, menteri, orang kenamaan dan lain-lain lagi janganlah saksi tersebut terpengaruh ketika memberikan keterangan membolehkan ketidakadilan berlaku kepada pihak-pihak tertentu. Hal ini kerana perbuatan memutarbelitkan keterangan, tidak bercakap benar dan tidak berlaku adil adalah perbuatan yang berdosa dan tidak amanah.
Selain itu, ayat ini juga memperincikan berkaitan prinsip qhada’ yang kukuh yang mana ia wajib diikuti dalam pentadbiran undang-undang dan kehakiman Islam kerana ia menjadi tuntutan syarak untuk ditegakkan.
e) Surah an nahl ayat 90
Sesungguhnya Allah S.W.T menyuruh supaya berlaku adil dan berbuat kebaikan, disamping memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu mengambil peringatan dengan mematuhinya.
Wajhul Istidlal
Ayat di atas jelas menegaskan bahawa Allah memerintahkan supaya hamba-hambanya menegakkan kebenaran, keadilan dan melakukan kebaikan di samping memberi pertolongan kepada kaum kerabat. Selain itu, Allah memerintahkan kepada semua hambanya agar jangan melakukan kemungkaran berupa maksiat, kezaliman dan segala bentuk kejahatan di muka bumi ini. Allah telah memperhalusinya lagi dalam firmannya pada surah an-Nisa’ ayat 58.
Ironinya, beberapa potong ayat al-Quran di atas memperincikan secara nyata bahawa keadilan secara mutlak mestilah ditegakkan dan kezaliman perlulah dihapuskan. Undang-undang yang ada perlu dipatuhi dan dijalankan agar tercapai tujuan tersebut. Hal ini kerana undang-undang dan peraturan tersebut adalah ketetapan yang telah digariskan oleh Allah S.W.T berdasarkan kepada wahyuNya dan as-Sunnah.
Oleh yang demikian, Allah memerintahkan agar pentadbiran undang-undang ini hendaklah adil dan saksama. Institusi yang paling sesuai untuk mengaspirasikannya ialah institusi al-qhada’. Para Nabi dan Rasul Allah termasuk Rasulluhlah s.a.w. telah dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Baginda merupakan hakim pertama dan yang utama dalam Islam (Mahmud Saedon 1996: 38).
2. NAS-NAS DARI AL-SUNNAH BERKAITAN DENGAN PENSYARIATAN QADHA’ BESERTA WAJHUL ISTIDLAL.
a)
حديث من عمرو بن العاص بأنه سمع رسول الله (ص) يقول:
إذا حكم الحاكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران ، وإذا حكم فاجتهد ثم أخطأ فله أجر
Terjemahannya:
Hadis yang diriwayatkan oleh Amru Ibn al As: Bahawasanya ia mendengar Rasulluhlah s.a.w bersabda “ Apabila seorang hakim itu berijtihad dalam hukumannya dan tepat pula hukumannya maka ia mendapat dua pahala. Jika ia berijtihad dan ijtihadnya itu tidak tepat, maka ia mendapat satu pahala sahaja”.[8]
·Wajhul Istidlal
Hadis di atas menyatakan bahawa seorang hakim apabila menjatuhkan hukuman hendaklah berijtihad dan berusaha agar hukumannya itu tepat. Sekiranya tepat hakim itu akan mendapat dua ganjaran atau pahala walau bagaimanapun, jika berlaku sebaliknya tidaklah menjadi dosa malah masih lagi diberikan satu ganjaran kerana ijtihadnya tadi. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan betapa agama Islam itu menghormati hakim dan institusi kehakiman Islam.
b)
حديث من فاطمة بنت قيس:
دخلت على فاطمة بنت قيس. فسألتها عن قضاء رسول الله صلى الله عليه وسلم عليها.
فقالت : طلقها زوجها البتة. فقالت : فخاصمته إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم في السكنى والنفقة. قالت : فلم يجعل لي سكنى ولا نفقة.
Terjemahannya:
Hadis Fatimah binti Qais: Beliau menuntut nafkah dan tempat tinggal dari suami yang telah menceraikannya dengan talak tiga, Rasulluhlah s.a.w memutuskan bahawa tiada nafkah dan tempat tinggal untuknya.[9]4
Wajhul Istidlal
Hadis ini secara umumnya menunjukkan Rasulluhlah s.a.w sendiri bertindak sebagai hakim bagi mendapatkan keadilan pihak-pihak. Perbicaraan ini melibatkan isu-isu kekeluargaan berkaitan nafkah serta tempat tinggal. Di dalam kes ini Rasulluhlah telah tidak memberikan tempat tinggal dan nafkah kepada Fatimah binti Qais iaitu pihak yang menuntut. Hal ini kerana Fatimah telah nusyuz. Justeru itu, penghakiman bagi pihak-pihak yang bertikai adalah penting bagi memastikan keadilan pihak-pihak akan dapat tercapai dan kezaliman dapat dihindarkan. Maka di sinilah perlunya suatu institusi kehakiman Islam bagi memastikan keadilan sejagat. Hal ini kerana qhada’ merupakan institusi yang paling sesuai kerana rohnya didasari oleh syariat islamiyah.
c)
حديث من عبد الله بن عمرو:
أن امرأة قالت يا رسول الله إن ابني هذا كان بطني له وعاء وثديي له سقاء وحجري له حواء وإن أباه طلقني وأراد أن ينتزعه مني فقال لها رسول الله صلى الله عليه وسلم ((أنت أحق به ما لم تنكحي))
Terjemahannya:
Hadis wanita yang dating berjumpa Rasulluhlah s.a.w setelah diceraikan oleh suaminya: Dia berkata “Wahai Rasulluhlah s.a.w.!, perut akulah yang menanggung anakku, buah dadakulah sumber minumannya dan ribakulah tempat tinggalnya, tiba-tiba bapanya ingin merampasnya dari aku” lalu Rasulluhlah s.a.w. bersabda “Kamu lebih berhak terhadapnya dari suamimu selagi mana kamu tidak berkahwin”.[10]
Wajhul Istidlal
Hadis ini jelas memperincikan berkaitan tuntutan hak hadhanah. Pihak yang menuntut telah menuntut hak penjagaan anak atas dasar beliau telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu yang baik dengan menjaga kebajikan anaknya sejak kecil lagi. Maka hal ini menjadi bayyinah bagi pihak menuntut untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut selari dengan hadis Rasulluhlah mafhumnya “ Keterangan adalah di atas pihak yang mendakwa dan sumpah tertanggung di atas pihak yang ingkar”.
Selain itu hadis ini menjelaskan tentang jepentingan institusi qhada’ bagi menyelesaikan pertikaian pihak-pihak dalam suatu keadaan atau situasi. Hadis ini juga meperlihatkan ketinggian dan kemuliaan martabat seorang hakim yang adil, alim dan berwibawa semasa menjatuhkan hukuman. Rasulluhlah s.a.w. adalah contoh utama hakim terbaik. Baginda sendiri menjatuhkan hukuman dan memutuskan pertikaian pihak-pihak di samping bertindak melantik beberapa sahabat lain yang adil, alim dan berwibawa menjadi hakim antaranya ialah Saidina Ali dan Muadhz bin Jabal.
d)
حديث من عبد الله بن مسعود: قال رسول الله (ص) :
((لا حسد إلا في اثنتين : رجل آتاه الله مالا فسلط على هلكته في الحق ، ورجل آتاه الله الحكمة فهو يقضي بها ويعلمها.))
Terjemahannya:
Rasulluhlah s.a.w juga bersabda di dalam satu hadis yang berbunyi “Tidak boleh berhasad dengki kecuali dalam dua perkara, yang pertamanya seorang yang Allah limpahkan dengan harta maka ia pergunakannya di jalan kebenaran dan keduanya seorang yang Allah anugerahkan hikmah (kebijaksanaan) lalu dia menghukum dengan keadilan dan beramal dengannya”.[11]
Wajhul Istidlal
Hadis ini jelas membuktikan ketinggian martabat seorang hakim. Allah sentiasa bersama-samanya selagi dia berlaku adil dan saksama. Menjadi kewajipan seorang hakim untuk menggunakan kebijaksanaannya semaksimum mungkin (hikmah) ketika menjatuhkan hukuman bagi memberi keadilan kepada pihak-pihak yang bertikai. Selain itu, hadis ini juga menyatakan bahawa tugas atau jawatan hakim ini suatu jawatan yang penting, sewajarnya ia dilantik daripada golongan yang benar-benar berkelayakan.
e)
وروي أن قوما اختصموا الى النبي (ص) في حص فبعث حذيفة به لمن يليه معاقد القمط ثم رجع الى النبي (ص) فأخبره فقال (ص) : ((أصبت وأحسنت)).
Terjemahannya:
Diriwayatkan bahawa sekumpulan sahabat bertelagah dalam masalah kayu untuk membuat atap. Mereka menemui Rasulluhlah s.a.w. lalu Rasulluhlah s.a.w. memerintahkan Huzaifah al-Yamani untuk menghakimi mereka. Maka Huzaifah memutuskan pihak yang berhak ialah mereka yang memiliki tali pengikatnya. Kemudiaan Huzaifah memaklumkan kepada Nabi perkara tersebut, lalu Rasulluhlah s.a.w. bersabda “Bagus dan keputusan mu tepat (betul)”.[12]
Wajhul Istidlal
Hadis ini menjelaskan isu berkaitan perlantikan hakim. Di mana kadangkala Rasulluhlah s.a.w bertindak melantik seorang wakil sebagai hakim bagi menyelesaikan pertikaian pihak-pihak. Di dalam hadis ini baginda telah melantik Huzaifah sebagai hakim bagi membicarakan kes di Yaman. Selain itu hadis ini juga memperlihatkan wujudnya prosedur rayuan bagi suatu perbicaraan itu, di mana setelah Huzaifah memberikan penghakimannya beliau telah merujuk perkara tesebut kepada Rasulluhlah s.a.w, jika penghakiman yang dibuat tidak dipersetujui oleh Rasulluhlah maka prosedur rayuan akan dilakukan. Namun begitu, perkara ini tidak diaplikasikan di Mahkamah Syariah hari ini. Sepatutnya diwujudkan suatu badan yang bertindak sebagai juri dalam satu-satu perbicaraan terutamanya bagi kes-kes yang kritikal. Para fuqaha’ merupakan golongan yang paling layak atau sesuai bagi jawatan ini, hakim akan meminta pandangan para fuqaha’ bagi mendapatkan keadilan sewajarnya bagi pihak-pihak.
Apa yang dapat dirumuskn dari hadis-hadis yang telah dipaparkan di atas ialah kepentingan Qada dan pensyariatannya dalam Syariah Islamiah, ini dapat dipetik melalui perlakuan Rasulluhlah s.a.w sendiri dalam menjalani penghakiman dan di waktu yang sama beliau melantik sahabat-sahabat yang berkelayakan untuk menyandang jawatan tersebut di kota-kota jajahan Islam (Ibnor Azli Ibrahim 1998: 20).
Al-Quran. Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada pengertian al-Quran. 1988. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam.
Ibnor Azli Ibrahim. 1998. Sistem Kehakiman Islam di Malaysia, perlaksanaan dan prosedur perbicaraannya. Tesis Sarjana, Jabatan Syariah FPI, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mahmud Saedon A. Othman. 1996. Institusi Pentadbiran Undang-undang & Kehakiman Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Semua terjemahan ayat al-Qur’an dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir pimpinan al-Qur’an kepada pengertian al-Qur’an, edisi kelapan, (Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1988).
[8] Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari. Juz. 8. hlm. 157. Bab Ajr al-Hakim Iza Ijtahada. Hadis no. 2100: Muslim. Sahih Muslim. Juz. 3. hlm. 1342. Hadis no. 1716. Sunan Abu Daud, Sulaiman bin al-Ashath al-Sajestani al-Azadi. tt. Sunan Abi Daud. Juz. 2. Beirut. Lubnan. Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi Dar Ihya’ al-Sunnah al-Nabawiyyah. Juz 3. hlm. 299. No. Hadis 2154.
[9] Ibn Majah. Abu Abdullah Muhammad bin Yazid al-Rabie bil wala al-Qazwini. 1395H/1975M. Sunan ibn Majah. Edit. Muhammad Fuad abd al-Baqi. Beirut. Lubnan. Dar Ihya al-Turath al-Arabi. Juz 1. Hlm. 656. Hadis no 2035,2036. Kitab Talaq, Abu Daud. Sunan Abi Daud. Juz. 2 hlm. 287. Hadis no. 2288. Kitab Talaq.
[10] Abu Daud. Sunan Abi Daud. Kitab al-Talaq. No hadis 2276-2280 Ibn Hanbal, Ahmad bin Muhammad ibn Hanbal al-Syaibani. al-Musnad Bihamisyihi Muntakhab kanz al-Ummal. al-Maktab al-Islami. Beirut. Lubnan. Dar al-Sodir. Juz. 2. hlm. 182.
[11] Al-Bukhari. Sahih al-Bukhari. Kitab al-Ahkam bab Ajru man qada bil hikmah dalam Ibn Hajar Fathul Bari. juz. 13. hlm. 120; Muslim. Sahih al-Muslim Syarah al-Nawawi. Kitab Solatul musafirin wa qasruha. bab Fadlu man yuqawwim bi al-Quran wa bi ilmihi. juz. 6. hlm. 97-98.
[12] Ibn Majah. Sunan Ibn Majah. Kitab al-Ahkam. Juz. 2. hlm.785; Al-Dar Qutni, Ali bin Umar. 1966M/1386H. Sunan al-Dar Qutni. Juz. 4. Al-Qahirah. Dar al-Mahasin. Bab al-Mar’ah Tuqtal Iza Irtaddat. Juz. 4. hlm. 229.
No comments:
Post a Comment