MusicPlaylist

"Sejak hari pertama, kita dijadikan,

telah tertulis segala nasib kita

di luh mahfuz. Buruk baiknya kita tak tahu. ,

Tapi kita perlu

berusaha memenuhi kemahuan hidup kita"

CAHAYA

Tuesday, December 8, 2009

PEMBUKTIAN TAKLIK TANPA KEHADIRAN DEFENDAN DI MAHKAMAH SYARIAH MENURUT AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM WP KL 1984

Faktor utama menentukan penceraian secara taklik menurut amalan di Malaysia adalah berdasarkan perlanggaran lafaz taklik yang dilafazkan oleh pihak suami semasa akad nikah perkahwinan. Apabila pihak suami melakukan perlanggaran terhadap lafaz taklik ini maka isteri berhak mendapat cerai dalam keadaan tersebut.

Oleh itu, dalam hal demikian mahkamah akan meneliti setiap keterangan saksi dan pihak-pihak serta dokumen berkaitan bagi menentukan pembuktian kepada perlanggaran lafaz taklik tersebut. Mahkamah akan merujuk kepada surat perakuan nikah yang didaftarkan di Jabatan Agama yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan pendaftaran pernikahan. Setiap negeri mempunyai lafaz taklik yang berbeza.

Merujuk kepada lafaz taklik di Wilayah Persekutuan perlu dibuktikan perlanggaran beberapa elemen yang dilakukan oleh pihak suami. Mahkamah akan bertanyakan kepada suami berhubung tuntutan pihak isteri sama ada beliau mengakuinya atau tidak. Walau bagaimanapun, isunya di sini, prosedur ini akan menjadi lebih mudah apabila Defendan atau pihak suami hadir pada hari perbicaraan kes tetapi jika ia berlaku sebaliknya seperti pihak Defendan ghaib, tidak dapat dikesan atau tidak mahu hadir ke mahkamah. Maka dalam hal ini, mahkamah akan merujuk kepada keterangan pihak Plaintif, saksi-saksinya dan dokumen yang berkaitan bagi menentukan sama ada berlaku perlanggaran kepada lafaz taklik tersebut seterusnya mensabitkan penceraian secara taklik sebagaimana yang dituntut oleh pihak Plaintif.

Oleh itu, mahkamah amat mementingkan penelitian yang jitu bagi memastikan keadilan pihak-pihak dapat diwujudkan supaya kezaliman dapat ditolak.

2.1 Penyampaian dan penyempurnaan saman

Syarat utama dalam pembuktian taklik tanpa kehadiran Defendan ialah penyampaian dan penyempurnaan saman. Undang-undang substantif telah memperuntukkan bahawa setiap saman dan pernyataan tuntutan mestilah disampaikan kepada Defendan atau wakilnya sebelum suatu perbicaraan itu diadakan. Ini bertujuan supaya Defendan mempunyai masa yang cukup bagi membuat persediaan untuk menjawab tuntutan pihak Plaintif.

Walau bagaimanapun, bagaimanakah jika saman tersebut tidak dapat disempurnakan kerana Defendan ghaib atau tidak diketahui di mana dia berada sedangkan prosiding perbicaraan tidak boleh dimulakan selagi saman tidak sempurna. Saman mesti disempurnakan secara kendiri dalam tempoh 7 hari sebelum hari perbicaraan kecuali jika terdapat perintah daripada mahkamah sebaliknya. Hal ini jelas dalam peruntukkan seksyen 45(1), 59(1) dan 48(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998. Serahan secara kendiri adalah bagi memastikan wujudnya keadilan bagi kedua-dua pihak.

Namun begitu, jika saman secara kendiri tidak dapat disempurnakan kepada Defendan maka sebagai alternatifnya saman secara gantian boleh dilakukan samada melalui tampalan notis di tempat-tempat yang boleh dilihat oleh Defendan seperti masjid, alamat terakhir Defendan, di mana-mana bangunan yang difikirkan munasabah alamat tempat kerja Defendan dan boleh melalui iklan dalam suratkhabar harian. Walau bagaimanapun, serahan saman yang dibuat secara gantian, kesannya adalah sama seperti saman secara kendiri di sisi undang-undang. Hal ini boleh dirujuk pada seksyen 48(4) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998 (Lembaga Penyelidikan Undang-Undang 2008).

Namun begitu, saman yang diserahkan secara gantian perlu disokong dengan affidavit penyerahan. Penghantar saman atau pegawai mahkamah perlu membuat affidavit penyerahan setelah saman gantian dilakukan.

2.2 Bukti penyampaian Saman

Bukti penyampaian saman perlu dilakukan setelah saman secara gantian telah disempurnakan sebagaimana yang dinyatakan di atas. Sekiranya penyempurnaan saman secara gantian telah dilaksanakan maka secara automatiknya, mahkamah boleh menerimanya dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan berdasarkan kepada peruntukkan undang-undang (Rusmah Md. Sham 2009: 23).

Oleh itu, setelah saman secara gantian telah disempurnakan penghantar saman atau pegawai yang ditugaskan akan membuat affidavit sebagai bukti penyampaian saman dilakukan secara gantian. Seterusnya akan diserahkan kepada mahkamah melalui affidavit penyampaian dan affidavit penampalan. Walau bagaimanapun, terdapat keadaan di mana Defendan tidak mahu menerima saman yang dihantar oleh penghantar saman. Dalam keadaan ini, penghantar saman tersebut boleh meletakkan sahaja saman serta pernyataan tuntutan dihadapan Defendan. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Defendan telah menerima saman tersebut. Apabila penghantar saman tersebut pulang ke pejabatnya dia akan membuat satu affidavit penyampaian sebagai bukti bersumpah saman secara gantian tersebut telah disempurnakan. Mahkamah akan menyifatkan saman secara gantian tersebut telah disempurnakan penyampaiannya kepada Defendan.

Ironinya, setelah saman secara telah disempurnakan sama ada secara kendiri atau gantian mahkamah akan memulakan prosiding untuk mendengar perbicaraan kes taklik ini dalam tempoh masa yang minima sekiranya semua prosedur yang ditetapkan telah dipenuhi.

2.3 Kuasa Mahkamah yang mendengar tuntutan

Setelah mahkamah berpuas hati dengan penyampaian saman serta affidavit yang telah difailkan maka satu perbicaraan akan dijalankan tanpa kehadiran Defendan. Umumnya pihak-pihak yang bertikai boleh hadir sendiri atau hadir dengan diwakili oleh peguam syarie masing-masing. Ini dapat dilihat dalam peruntukkan pada seksyen 120(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998. Namun begitu, apabila Defendan tidak hadir mahkamah boleh membicarakan kes atau prosiding taklik tersebut tanpa kehadiran Defendan serta boleh memberi penghakiman berdasarkan kepada bukti dan keterangan-keterangan yang ada serta setelah mahkamah menerima bukti saman telah disempurnakan. Namun begitu, mahkamah boleh membuang kes jika pihak Plaintif atau wakilnya tidak hadir ke mahkamah. Ini secara jelas diperuntukkan pada seksyen 121(a)(b)(c) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998.

Oleh itu, jelas bahawa perbicaraan tanpa kehadiran Defendan adalah dibenarkan selepas mahkamah berpuas hati saman telah disempurnakan sama ada melalui penyampaian kendiri atau gantian. Afidavit penyampaian yang difailkan oleh Plaintif atau wakilnya akan menjadi bukti penyampaian saman telah disempurnakan. Perlu diingat bahawa penyampaian secara gantian hanya dibenarkan oleh mahkamah jika dibuktikan saman secara kendiri tidak dapat disempurnakan.

2.4 Elemen-elemen pembuktian taklik menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984

Terdapat beberapa elemen yang perlu dibuktikan bagi membuktikan suatu prosiding taklik di mahkamah syariah. Antaranya,

a. Wujudnya akad nikah perkahwinan yang sah antara Plaintif dan Defendan

Bagi membuktikan wujudnya suatu akad nikah perkahwinan yang sah antara Plaintif dan Defendan perlu kepada perakuan nikah yang dikeluarkan oleh badan rasmi seperti Jabatan Agama Islam. Badan ini bertanggungjawab mengeluarkan surat perakuan nikah kerana segala pendaftaran berkaitan nikah rujuk dan cerai diuruskan oleh badan ini. Apabila suatu perakuan nikah itu diragui atau telah hilang dalam simpanan badan ini akan menjadi rujukan.

Oleh itu, apabila suatu pihak memfailkan tuntutan taklik maka pihak yang membuat tuntutan tersebut perlu mengemukakan Sijil Perakuan Nikah yang sah di sisi undang-undang. Sekiranya gagal membawa dokumen yang menunjukkan bahawa telah berlakunya satu perkahwinan yang sah antara pihak-pihak. Namun begitu, jika berlaku sebaliknya pihak-pihak perlu membuat pengesahan perkahwinan terlebih dahulu.

Di samping itu, mahkamah juga boleh mengeluarkan perintah bagi suatu permohonan penceraian sebagaimana yang diperintahkan yang dinyatakan iaitu kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata tiada apa-apa jua dalam akta ini membolehkan membuat sesuatu perintah penceraian atau perintah mengenai penceraian atau membenarkan seorang suami melafazkan talak kecuali:

i. Jika perkahwinan itu didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan mengikut akta ini atau

ii. Jika perkahwinan itu dilangsungkan mengikut hukum syarak dan

iii. Jika permastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan di dalam Wilayah Persekutuan.

Perkataan ‘perintah penceraian’ dalam seksyen ini merujuk kepada perintah penceraian yang dibuat dengan kuasa mahkamah sama ada secara fasakh, taklik, khuluk dan lain-lain lagi (Rusmah Md. Sham 2009: 26).

b. Defendan berlafaz taklik atau tidak semasa akad nikah perkahwinan

Bagi membuktikan Defendan berlafaz taklik atau tidak perlu kepada keterangan saksi-saksi semasa berlakunya akad nikah tersebut serta keterangan pihak Plaintif sendiri. Bagi keterangan saksi bukan hanya saksi yang dinyatakan dalam surat perakuan nikah sahaja tetapi mana-mana saksi sama ada yang melihat, mendengar atau mengetahui keadaan yang berlaku semasa akad nikah tersebut dijalankan serta boleh memberi keterangan dalam mahkamah (Lembaga Penyelidikan Undang-Undang 2008). Hal ini boleh dirujuk pada seksyen 46 Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Manakala pengakuan Plaintif secara automatik akan diterima kerana ketidakhadiran Defendan menunjukkan dia membenarkan semua tuntutan pihak Plaintif. Selain daripada keterangan lisan yang ada, keterangan secara dokumen juga boleh dirujuk melalui surat perakuan nikah. Kepentingan surat perakuan nikah ini adanya tandatangan pihak Defendan dan Pendaftar Perkahwinan yang menunjukkan adanya lafaz taklik semasa akad nikah perkahwinan. Perkara-perkara ini menjadi bukti prima facie di mahkamah.

c. Berlakunya perlanggaran terhadap lafaz taklik oleh Defendan

Lafaz taklik yang tercatat di dalam surat perakuan nikah mengandungi beberapa syarat yang mengikat Defendan supaya tidak melanggarinya. Iaitu:-

i. Pihak suami telah meninggalkan isterinya selama empat bulan qamariah atau lebih sama ada dengan sengaja atau dengan paksa: dan

ii. Pihak suami atau wakil suami tidak memberikan nafkah kepadanya selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih sedangkan dia taat kepada suami: atau

iii. Jika pihak suami menyebabkan mudarat terhadap tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya atau menyebabkan penganiayaan atau sebarang darar syarie.

Syarat-syarat yang dinyatakan di atas mengikat pihak Defendan supaya tidak melakukan perkara-perkara tersebut dalam tempoh mereka hidup sebagai suami dan isteri. Walau bagaimanapun, sekiranya Defendan melakukan perlanggaran dua daripada syarat tersebut maka penceraian secara taklik boleh berlaku setelah dibuktikan di mahkamah. Hal ini adalah penting dari sudut perundangan dan ia perlu difahami secara jelas oleh pihak-pihak yang terlibat.

Namun begitu, ketika pihak Plaintif membuat tuntutan penceraian secara taklik perkara yang menjadi elemen penting pembuktiannya adalah merujuk kepada dua elemen iaitu pihak Defendan telah meninggalkan isterinya melebihi tempoh empat bulan qamariah secara berturut-turut dan dia atau wakilnya tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh melebihi empat bulan qamariah secara berturut-turut. Di samping dua elemen penting ini, berlakunya apa-apa perkara yang boleh menimbulkan kemudaratan secara syarie kepada isteri juga antara syarat berlakunya perlanggaran kepada lafaz taklik yang membolehkan penceraian secara taklik berlaku.

Perkataan ‘tinggal’ di dalam lafaz taklik termasuklah meninggalkan isteri secara sengaja atau tidak atau dalam keadaan marah dan dendam ataupun dipenjarakan selama 4 bulan. Ia dikira sebagai perlanggaran kepada syarat taklik yang dilafazkan. Manakala perkataan ‘nafkah’ pula merujuk kepada nafkah zahir iaitu apa-apa perbelanjaan yang melibatkan penginapan, makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Selain itu, Plaintif perlu membuktikan bahawa dalam tempoh perkhwinan tersebut Plaintif tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah. Jika berlaku nusyuz walaupun telah berlaku perlanggaran kepada dua syarat taklik tersebut tuntutan penceraian secara taklik akan ditolak oleh mahkamah.

Namun begitu, sekiranya kedua-dua syarat tersebut tidak wujud tetapi Defendan telah melakukan kemudharatan kepada tubuh badan Plaintif atau dengan kata lain memukul atau mencederakan Plaintif maka dikira berlaku juga klausa perlanggaran kepada lafaz taklik tersebut. Ini menunjukkan bahawa Plaintif tidak boleh dipukul atau dicederakan tubuh badannya oleh Defendan. Begitu juga adanya asas dan dakwaan yang kukuh untuk mendakwa Defendan seperti laporan perubatan atau saksi-saksi yang melihat kejadian itu berlaku.

d. Wujudnya pengaduan oleh pihak Plaintif berkenaan tuntutan penceraian secara taklik di Mahkamah Syariah

Setelah syarat-syarat taklik dipenuhi perkara lain yang perlu dilakukan oleh Plaintif ialah membuat pengaduan di Mahkamah Syariah berkaitan tuntutan penceraian secara taklik. Bentuk pengaduan adalah terpulang kepada Plaintif sama ada dengan cara sendiri atau melalui Peguam Syarie yang dilantik oleh pihak Plaintif.

e. Saksi-saksi yang kompeten

Saksi yang dikemukakan ketika perbicaraan mestilah saksi-saksi yang melihat, mendengar dan mengetahui sendiri keadaan ketika akad nikah tersebut berlaku bukannya dari orang ketiga atau dalam kata yang lain kesaksian di atas kesaksian. Perkara yang perlu diambil perhatian ialah saksi-saksi mestilah menepati hukum syarak dan peruntukkan undang-undang kecuali selainnya dari apa yang diperuntukkan iaitu keterangan mestilah diberi oleh dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki bersama dua orang saksi perempuan. Hal ini jelas dalam seksyen 86(5) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

3. KES-KES YANG DISELESAIKAN M ELALUI TAKLIK

Terdapat pelbagai kes penceraian yang dibicarakan di mahkamah dengan menggunakan pelbagai mekanisme atau cara antaranya kaklik. Banyak isu yang perlu dibuktikan bagi membenarkan dakwaan Plaintif supaya tuntutan tTaklik dapat di sabitkan. Antara contoh-contoh kes taklik yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan KL disabit berdasarkan taklik yang dilafazkan oleh pihak Defendan ketika akad nikah mengikut lafaz taklik Wilayah Persekutuan KL.

a) No. Kes : 14004-057-0159-2007[1]

(Tuan Hakim Mohd Naim bin Hj Mokhtar)

Fakta Kes

Plaintif dan Defendan merupakan suami isteri yang sah. Mereka bernikah pada 9 Oktober 1987 dan mempunyai 3 orang cahaya mata yang berumur lingkungan 16 sehingga 12 tahun. Pada awal perkahwinan sehingga Ogos 2002 perkahwinan pihak-pihak dalam keadaan aman. Sehinggalah pada suatu hari, Defendan telah keluar dari rumah meninggalkan Plaintif dan anak-anak untuk berkahwin satu lagi. Defendan tidak pernah balik ke rumah selepas itu sehingga tahun 2007 melebihi tempoh 5 tahun. Selama tempoh itu Defendan atau wakil Defendan tidak pernah memberi nafkah kepada Plaintif dan anak-anak. Plaintif tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah. Akibat dari perbuatan Defendan itu, Plaintif telah mengalami tekanan emosi dan mental akibat penganiayaan yang dilakukan oleh Defendan sebagai seorang suami yang tidak bertanggungjawab.

Saman secara kendiri tidak dapat disempurnakan kerana Defendan ghaib. Saman secara gantian telah dibuat melalui tampalan iklan dalam suratkhabar dan kes telah dibicarakan tanpa kehadiran Defendan. Plaintif diwakili oleh peguam dari Biro Bantuan Guaman KL.

Oleh itu, dalam kes ini, alasan yang digunakan oleh Plaintif bagi mensabitkan Takliknya ialah Plaintif telah ditinggalkan selama tempoh melebihi 4 bulan berturut-turut dan perbuatan Defendan yang tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama melebihi tempoh 4 bulan berturut-turut.

Keputusan

Mahkamah telah mensabitkan taklik yang telah dilafazkan oleh Defendan selepas akad perkahwinan dan plaintif telah bersumpah Istizdhar berdasarkan pada peruntukkan seksyen 121(2) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1998 iaitu yang membenarkan segala keterangan Plaintif dan saksi-saksi Plaintif ketika memberi keterangan serta menyerahkan wang RM 1.00 sebagai tebus talak bagi pihak suami.

b) No Kes : 14004-057-0278-2007[2]

(Tuan Hakim Mohd Naim bin Hj Mokhtar)

Fakta Kes

Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 25 Disember 2004 di Wilayah Persekutuan. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, mereka tidak memperolehi anak. Pada awal perkahwinan rumah tangga Plaintif dan Defendan dalam keadaan aman dan bahagia. Pada awal tahun 2007 Defendan mula berubah dengan bersikap kasar terhadap Plaintif. Defendan telah memukul Plaintif sehingga cedera. Oleh sebab itu, Plaintif telah membuat laporan polis yang bertarikh 7 Januari 2007 serta mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Pada 17 Januari tahun yang sama Plaintif telah bertindak keluar dari rumah kelamin kerana tidak tahan dengan perangai Defendan yang kerap memukul Plaintif. Semasa tempoh tersebut Defendan atau wakilnya tidak pernah memberikan nafkah kepada Plaintif.

Oleh yang demikian, Plaintif telah memfailkan permohonan penceraian secara taklik berdasarkan peruntukkan seksyen 50 AUKI 1984 dengan alasan-alasan seperti berikut:

i. Defendan telah meninggalkan Plaintif melebihi 4 bulan qamariah berturut-turut.

ii. Defendan atau wakil beliau tidak memberi apa-apa nafkah kepada Plaintif melebihi 4 bulan qamariah berturut-turut.

Keputusan

Setelah mahkamah meneliti segala keterangan Plaintif dan saksi-saksinya serta meneliti dokumen-dokumen berkaitan tuntutan, di samping sumpah Istidzhar yang telah dilafazkan oleh pihak Plaintif mahkamah sabitkan Defendan telah melakukan perlanggaran terhadap lafaz taklik yang dilafazkan oleh beliau semasa akad nikah perkahwinan. Mahkamah telah menerima RM1.00 sebagai tebus talak dan memerntahkan Plaintif untuk beriddah dengan iddah 3 kali suci.

c) No Kes : 14004-057-0588-2007[3]

(Tuan Hakim Mohd Naim bin Hj Mokhtar)

Fakta Kes

Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 20 Januari 1996 di Melaka. Sepanjang tempoh perkahwinan pihak-pihak dikurniakan seorang cahayamata. Pada awal tahun 1998 Plaintif telah membuat permohonan untuk bercerai. Walau bagaimanapun, Plaintif telah menarik permohonan tersebut pada tarikh 24 Januari 1998. Pada pertengahan 2007 Plaintif telah memfailkan kembali permohonan untuk bercerai secara taklik atas beberapa alasan antaranya Defendan atau wakilnya telah tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh 4 tahun, dalam tempoh itu juga, Defendan telah meninggalkan Plaintif dan anaknya serta tidak pernah menghubungi Plaintif.

Sebelum meninggalkan rumah kelamin, Defendan telah bertindak memecahkan pintu rumah mereka, mencuri beberapa harta milik Plaintif, memarahi Plaintif apabila Plaintif menghantar anak mereka bersekolah di sekolah agama berhampiran, menunjukkan beberapa gambar lucah kepada Plaintif, menyuruh Plaintif melacurkan diri, mengirimkan banyak gambar lucah kepada Plaintif melalui MMS, menyebarkan gambar lucah isterinya, menuduh Plaintif melakukan sihir kepadanya, mencuri pakaian dalam milik Plaintif dan anaknya bertujuan untuk membuat fitnah, mencuri kunci rumah Plaintif, bersubahat dengan kakak Plaintif yang bernama Zainah untuk meminjam wang di Maybank sebanyak RM400,000.00 dan berhasrat untuk menjual anak perempuannya bagi tujuan melangsaikan hutang tersebut.

Keputusan

Mahkamah telah mensabitkan taklik yang telah dilafazkan oleh Defendan selepas akad perkahwinan dan plaintif telah bersumpah Istizdhar iaitu yang membenarkan segala keterangan Plaintif dan saksi-saksi Plaintif ketika memberi keterangan serta menyerahkan wang RM 1.00 sebagai tebus talak bagi pihak suami.

3.1 Statistik kes tuntutan pengesahan cerai taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi tahun 2005 hingga 2008

Bilangan

Tahun

Bil. Kes taklik

Bil. Kes Penceraian keseluruhan

Peratusan kes taklik

1.

2005

142

4123

3.44 %

2.

2006

113

4834

2.34%

3.

2007

85

5597

1.52%

4.

2008

65

6181

1.05%

Statistik di atas menunjukkan bilangan kes tuntutan pengesahan cerai taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi tahun 2005 hingga 2008. Secara umumnya jelas bahawa berlaku penurunan bilangan kes penceraian yang diselesaikan melalui taklik dari tahun 2005 hingga 2008. Walau bagaimanapun, bilangan kes penceraian secara keseluruhannya adalah meningkat dari tahun 2005 hingga 2008.

Menurut Cik Irakartini binti Chairullah, yang mengendalikan pendaftaran kes penceraian secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur penurunan ini berlaku disebabkan beberapa perkara antaranya pihak yang membuat permohonan pada mulanya memfailkan kes tersebut bagi pengesahan tuntutan pengesahan taklik kemudian atas perundingan pihak-pihak yang terlibat mereka bersetuju untuk menarik kembali tuntutan untuk bercerai secara taklik seterusnya pihak suami bersetuju untuk bercerai di dalam mahkamah melalui peruntukkan dalam sek 47 AUKI 1984. Selain itu juga, pembuktian bagi kes taklik adalah sukar. Hakim akan meneliti secara terperinci sama ada berlaku atau tidak perlaggaran kepada lafaz taklik semasa akad perkahwinan. Hal ini kerana lafaz taklik bagi Wilayah Persekutuan perlu dibuktikan beberapa aspek:

iv. Pihak suami telah meninggalkan isterinya selama empat bulan qamariah atau lebih sama ada dengan sengaja atau dengan paksa: dan

v. Pihak suami atau wakil suami tidak memberikan nafkah kepadanya selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih sedangkan dia taat kepada suami: atau

vi. Jika pihak suami menyebabkan mudarat terhadap tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya atau menyebabkan penganiayaan atau sebarang darar syarie.

Selain itu, bagi kes pengesahan lafaz taklik bukan berdasarkan lafaz taklik akad nikah perkahwinan, Hakim akan meneliti fakta kes serta keterangan-keterangan yang ada bagi mebuktikan wujudnya perlanggaran kepada taklik yang telah dilafazkan oleh pihak suami. Menurut Cik Irakartini lagi, pernah pada suatu masa banyak kes taklik yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah terpaksa ditolak disebabkan penceraian secara taklik tidak sesuai kerana fakta-fakta kesnya adalah tidak bersesuaian dan pembuktian terhadap perlanggaran lafaz taklik terlalu lemah.

4. PENUTUP

Apabila suatu perkahwinan tersebut tidak dapat diselamatkan lagi Islam menghendaki sebarang proses penceraian diselesaikan dengan cara yang baik. Taklik merupakan satu alternatif yang boleh digunakan bagi menuntut penceraian oleh pihak isteri yang telah ditinggal oleh pihak suami tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Perbicaraan tanpa kehadiran pihak suami adalah dibenarkan apabila pihak suami atau Defendan tidak mengendahkan saman atau ghaib dan lain-lain perkara yang menghalang kehadirannya di mahkamah.

Namun begitu, dalam kes-kes isteri yang ditinggalkan oleh suami mereka bukan sahaja dinafikan nafkah zahir dan batin walhal mereka juga terpaksa bekorban membesarkan anak-anak sendirian tanpa sokongan pihak suami mereka. Jika sekiranya prosiding perbicaraan tidak dapat dilakukan tanpa kehadiran Defendan maka ini akan berlakulah penganiayaan kepada pihak isteri. Ini merupakan alasan yang kuat membolehkan mahkamah melakukan perbicaraan demi menjaga kepentingan pihak isteri dan anak-anaknya.

Ironinya, pembuktian taklik tanpa kehadiran Defendan di Mahkamah Syariah adalah dibenarkan bagi menjaga kepentingan pihak yang membuat tuntutan. Mahkamah bertanggungjawab membuat penelitian secara terperinci berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang ada sama ada secara lisan atau dokumen.

1 comment:

Anonymous said...

nama kes mana?bleh tau nama2 kes...ade teak dln jurnal hukum